EKONOMI > BERITA

Malaysia kumpul US$450 juta dana IPO, tertinggi bagi Bursa Asia Tenggara

07/08/2024 07:21 PM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Pasaran modal tawaran awam permulaan (IPO) Malaysia mendahului bursa Asia Tenggara dari segi jumlah dana IPO dikumpul dalam separuh pertama 2024 yang mencecah US$450 juta (US$1 = RM4.49), kata Deloitte.

Dana IPO dikumpul di Malaysia juga menyumbang 33 peratus daripada hasil US$1.4 bilion yang diraih dalam tempoh di bawah kajian itu.

Dalam laporan Tinjauan IPO Pertengahan Tahun Asia Tenggara 2024, Deloitte berkata ini seterusnya diikuti oleh Thailand yang mengumpulkan US$427 juta, Indonesia (US$248 juta), Filipina (US$194 juta), Vietnam (US$37 juta) dan Singapura (US$20 juta).

Selain itu, pasaran modal Asia Tenggara mencatat penurunan IPO baharu iaitu hanya 67 IPO pada enam bulan pertama 2024 berbanding 85 pada tempoh sama 2023.

Deloitte berkata Indonesia menyaksikan IPO baharu terbanyak iaitu 25 dan diikuti Malaysia (21 IPO), Thailand (17 IPO), Filipina (dua IPO) manakala Vietnam dan Singapura masing-masing satu IPO.

Dalam kenyataan berasingan, Rakan Khidmat Nasihat Transaksi Deloitte Malaysia Wong Kar Choon berkata sejak 2018, bilangan penyenaraian baharu di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities juga telah melangkaui Pasaran Utama.

“Kami melihat kebanyakan penyenaraian baharu di Pasaran ACE meraih untung dari segi harga saham selepas penyenaraian.

“Apa yang menggalakkan, separuh daripada syarikat ini turut mencatat kenaikan dua digit dalam harga saham masing-masing seminggu selepas IPO.

“Ini menunjukkan penilaian IPO yang munasabah dan disokong lagi oleh mudah tunai pasaran yang mencukupi," katanya.

Wong juga optimis Malaysia akan terus mempunyai jenama diyakini dalam landskap IPO.

Pada separuh pertama 2024, pasaran saham tempatan menyaksikan kejayaan pakar penjagaan kesuburan Alpha IVF Group Bhd mengumpul kira-kira US$94 juta.

“Empat IPO Malaysia juga dalam kelompok 10 IPO teratas di Asia Tenggara dalam separuh pertama 2024.

“Keadaan ini jelas menunjukkan landskap ekonomi Malaysia yang positif dengan banyak syarikat dijangka memanfaatkan kehadiran pasaran yang kukuh untuk meninjau peluang dalam pasaran modal IPO,” katanya.

Beliau berkata landskap IPO untuk Malaysia bagi tempoh berbaki 2024 kekal positif dan sasaran Bursa Malaysia merangkumi 42 penyenaraian kekal optimistik.

Dalam pada itu, Deloitte berkata berdasarkan prestasi sebelum ini, separuh kedua setiap tahun di Asia Tenggara sentiasa menjadi tempoh dengan catatan lebih baik bagi 2020 hingga 2022.

“Namun, aliran penurunan separuh pertama 2023 hingga separuh pertama 2024 menunjukkan sentimen pasaran IPO lebih lemah dengan pelabur dan syarikat IPO terus mengharungi faktor makroekonomi seperti iklim geopolitik global, persekitaran kadar faedah tinggi dan kekurangan mudah tunai,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan