EKONOMI > BERITA

Malaysia Berpotensi Raih Pasaran Ekonomi Penjagaan Bernilai US$25.5 Bilion -- Hanifah Hajar

08/08/2024 04:34 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Ekonomi Penjagaan (silver economy) sedang mengalami pertumbuhan yang besar di rantau Asia Tenggara dengan Malaysia berpotensi meraih pasaran bernilai kira-kira US$25.5 bilion daripada industri tersebut, kata Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib.

Beliau berkata Malaysia harus melihat penuaan populasi sebagai peluang ekonomi dengan memanfaatkan sektor ekonomi baharu seperti ekonomi penjagaan untuk meningkatkan kesejahteraan dan produktiviti masyarakat secara keseluruhan.

“Peratus potensi pasaran dunia yang boleh diteroka daripada trend penuaan populasi adalah sebanyak US$4.56 trilion pada 2025.

“Pelbagai industri di Malaysia berpotensi untuk mendapat manfaat daripada rantaian ekonomi penjagaan dengan mengambil kira permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan sama ada dari dalam atau luar negara,” katanya ketika merasmikan Seterra Dialogue 2024 (SeDIA24) Persidangan Kebangsaan Penjagaan 2024, di sini, hari ini.

Hanifah Hajar berkata industri baharu itu berpotensi merangkumi pelancongan penjagaan kesihatan dan penjagaan jangka panjang, bekalan peralatan perubatan serta teknologi perubatan yang menggunakan kecerdasan buatan dan robotik.

“Saya menjemput lebih banyak syarikat swasta untuk terlibat dalam pembangunan produk dan penyelesaian dalam segmen warga emas serta ekonomi penjaga ini,” katanya.

Persidangan tersebut dianjurkan oleh Bina Darulaman Berhad dengan kerjasama Kumpulan syarikat Seterra dan MY Iskandar Sdn Bhd.

Sementara itu Kumpulan Syarikat Seterra dalam satu kenyataan berkata persidangan sehari itu juga menampilkan dua forum penting bertajuk “Integrating the Care Economy into National Development” (Menyepadu Ekonomi Penjagaan kepada Pembangunan Nasional) dan “Empowering Private Sector Synergies in the Care Economy” (Memperkasa Sinergi Sektor Swasta dalam Ekonomi Penjagaan) yang disertai ahli panel terkemuka daripada pelbagai pemegang taruh.

Menurut syarikat itu, persidangan tersebut akan memberi peluang untuk memahami kepentingan ekonomi penjagaan dan potensi pertumbuhan aktiviti pelaburan dalam industri berkaitan di Malaysia. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan