EKONOMI > BERITA

BDB, Seterra Bekerjasama Bagi Projek Jagaan Warga Emas Di Langkawi

08/08/2024 06:35 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Pemaju hartanah, Bina Darulaman Bhd (BDB) kini menceburi cabang perniagaan baharu menerusi kerjasama dengan Seterra Group bagi menampung peningkatan permintaan perkhidmatan penjagaan golongan warga emas di Malaysia.

Pengarah Eksekutif BDB Raja Shahreen Raja Othman berkata inisiatif pertama dikenali sebagai Aman Seterra Sanctuary, dijangka dilancarkan di Langkawi dalam tempoh dua tahun lagi.

Pembangunan seluas 5.26 hektar itu terletak di Kuala Temoyong.

BDB sebelum ini meneroka peluang dalam sektor hospitaliti seperti hotel dan pusat peranginan di Langkawi.

“Bagaimanapun, kami menyedari rakan iaitu Seterra Group lebih menumpukan perkhidmatan penjagaan warga emas.

“Selepas melakukan penilaian, kami memutuskan untuk beralih tumpuan dan menganggap Langkawi dapat mengetengahkan tarikannya yang seiring dengan konsep penjagaan warga emas,” katanya kepada Bernama.

Raja Shahreen berkata Langkawi turut dikunjungi ramai warga asing dari Eropah, Timur Tengah, Rusia, Jepun dan negara lain, termasuk yang bertindak melanjutkan tempoh penginapan bagi mengelak cuaca yang ekstrem.

Kelebihan Langkawi menawarkan tarikan unik untuk pengunjung sedemikian juga mampu dimanfaatkan oleh BDB.

“Susulan itu, kami mewujudkan satu konsep yang sesuai untuk pelancong asing yang mahu berada lebih lama di sini. Bagi pasaran antarabangsa misalnya, kami menumpukan pasaran Jepun dan Eropah yang lazimnya memilih untuk melanjutkan kunjungan selain mempunyai kemampuan berbelanja,” katanya.

Menurut Raja Shahreen, walaupun wujud pasaran bagi segmen penjagaan warga emas, sasaran menyeluruh BDB lebih merangkumi pelanggan tempatan serta asing.

BDB juga dalam proses membuat persiapan pelancaran awal inisiatif itu yang terletak berhampiran pangkalan tentera laut di Langkawi. 

"Jika semuanya berjalan lancar seperti dirancangkan, kami berhasrat membuat pelancaran awal pada Mei 2025 ketika berlangsungnya acara Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA 2025),” katanya.

Kerjasama dengan Seterra Group juga menawarkan kemudahan menggabungkan penjagaan warga tua dan perkhidmatan berkaitan gaya hidup bagi mereka yang lebih selesa dengan konsep bersantai dalam persekitaran tropika.

Atas alasan itu, beliau berkata pihaknya tidak hanya menyasarkan penjagaan warga emas tetapi turut menawarkan pengalaman khusus mengikut keinginan pengunjung bagi tempoh masa lama seperti berkebun atau bermain golf.

Mengulas aspek pelaburan, Raja Shahreen berkata BDB mempunyai aset tanah mencukupi di Langkawi dan merancang pembangunan serta memanfaatkan potensi hartanah itu.

Ini termasuk aspek menseimbangkan insurans, penjagaan perubatan serta perkhidmatan penting lain bagi sasaran pasaran.

Usaha itu, katanya, termasuk rancangan bekerjasama dengan pelbagai agensi dan rakan lain dalam memastikan satu model penjagaan yang komprehensif dan memenuhi keperluan pelanggan.

Selain itu, Raja Shahreen menyifatkan sektor penjagaan golongan warga emas di Malaysia sentiasa berubah dengan permintaan merangkumi perkhidmatan lebih khusus.

“Kami percaya pendekatan kami ini dapat mengisi pasaran khusus dan menyumbang secara positif kepada aliran pendapatan syarikat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan