EKONOMI > BERITA

Fitch Mengesahkan Pengeluaran DCM Malaysia Kekal Pada Tahap Semasa

12/08/2024 04:26 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Terbitan pasaran modal hutang (DCM) Malaysia untuk separuh kedua 2024 dijangka sepadan dengan tahap separuh pertama, didorong oleh penyatuan fiskal kerajaan yang dibuat secara beransur-ansur, dengan defisit persekutuan diunjurkan susut dalam tempoh terdekat, kata Fitch Ratings. 

Firma penarafan itu melalui satu kenyataan hari ini berkata rangsangan mampu dicetuskan daripada institusi kewangan dan terbitan korporat memandangkan mereka sedang berusaha untuk membiayai semula dan mempelbagaikan pembiayaan.

DCM Malaysia berkembang sebanyak 4.4 peratus dari tahun ke tahun kepada US$550 bilion ( US$1=RM4.417) terkumpul pada penghujung separuh pertama 2024 selepas DCM menghadapi risiko daripada ringgit, kadar, turun naik harga komoditi dan senario geopolitik global, kata Fitch.

Terbitan DCM pada separuh pertama 2024 turun 8.3 peratus dari tahun ke tahun kepada US$45.2 bilion disebabkan oleh penyatuan fiskal, dengan defisit menjelang separuh pertama 2024 lebih rendah daripada separuh pertama 2023, dan kerajaan membuat sekitar 60 peratus daripada jumlah terbitan pada separuh pertama 2024 atau US$28 bilion, manakala institusi kewangan, korporat, kewangan projek, dan lain-lain memegang selebihnya.

Ketua Kewangan Islam Global Fitch, Bashar Al Natoor berkata sukuk berkemungkinan kekal dominan dalam DCM disebabkan ekosistem yang menyokong.

“Pelabur dalam DCM Malaysia adalah lebih pelbagai dan ini merangkumi bank, tabung simpanan termasuk pencen, tabung haji, pengendali insurans, takaful serta pengurus dana berbanding negara lain dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC),” katanya.

Firma itu memberi penarafan unjuran "Stabil” ke atas semua gred pelaburan dengan penerbit, sukuk Malaysia bernilai US$16 bilion.

Sementara itu, Bashar berkata ringgit yang lebih kukuh boleh menarik lebih banyak pegangan bukan pemastautin bagi bon kerajaan domestik.

“Kami menjangkakan faktor yang mendorong kejatuhan nilai ringgit, termasuk perbezaan kadar faedah negatif dan sentimen pelabur portfolio, menurun pada separuh kedua 2024,” katanya.

Bashar turut memuji usaha kerajaan dalam menyokong ringgit seperti menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menghantar pulang pendapatan pelaburan asing dan menukarnya kepada ringgit secara konsisten.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan