EKONOMI > BERITA

Tesla Diharap Teruskan Pelaburan Di Selangor - Menteri Besar

13/08/2024 06:22 PM

SHAH ALAM, 13 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Selangor mengalu-alukan Tesla Inc meneruskan rancangan pelaburan di negeri itu pada masa hadapan khususnya berkaitan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembukaan pusat servis kenderaan elektrik (EV).

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pelawaan itu seiring dengan hasrat pemilik Tesla Elon Musk yang dilaporkan mahu meluaskan pasaran syarikat tersebut di rantau Asia.

Beliau berkata setakat ini syarikat gergasi industri kenderaan elektrik itu sudah menjalankan beberapa cabang operasi di Selangor iaitu pembukaan ibu pejabat di Cyberjaya selain membuka pusat pengecasan.

“Ibu pejabat dan pusat-pusat pengecasan sudah ada. Pusat servis mungkin mereka akan buka selepas ini sebab mereka hendak luaskan pasaran di Asia,” katanya ketika diminta mengulas laporan yang mendakwa Tesla membatalkan rancangan membangunkan kilang di Thailand baru-baru ini.

Setakat ini, Tesla telah membangunkan empat pusat pengalaman (ruang khas untuk pelanggan) di Malaysia dan syarikat automotif multinasional itu juga telah melepasi sasaran untuk memasang 50-unit pengecas apabila telah membangunkan 52-unit pengecas segera dengan kapasiti melebihi 180 kW di pelbagai tempat di Lembah Klang, Johor, Melaka, Pulau Pinang dan Pahang.

Bercakap pada sidang media selepas melancarkan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) 2024, Amirudin berkata kemasukan pelabur dalam sektor semikonduktor agak luar biasa, kerajaan negeri kini bersedia membangunkan taman reka bentuk litar bersepadu (IC) kedua berikutan kuota taman IC pertama dijangka penuh dalam masa terdekat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan