EKONOMI > BERITA

Maxis Perluas Portfolio Sebagai MSP Untuk HPE Di Malaysia

04/09/2024 01:56 AM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Maxis hari ini mengumumkan perkembangan terkini dalam portfolio perkhidmatan terurusnya iaitu sebagai Penyedia Perkhidmatan Terurus (MSP) untuk Hewlett Packard Enterprise (HPE) di Malaysia.

Maxis, dalam kenyataan hari ini, memaklumkan tambahan peranan itu membolehkan syarikat tersebut memanfaatkan HPE Aruba Networking Central dengan kecerdasan buatan untuk operasi teknologi maklumat (IT) (AlOps) dalam penawaran rangkaian oleh Maxis Business bagi pelanggan perusahaan.

Menurut kenyataan itu, hal berkenaan akan dapat mempertingkatkan pengalaman pelanggan dan membolehkan perkhidmatan ICT yang lebih cekap, selamat dan pintar seperti rangkaian 4G LTE dan 5G persendirian, rangkaian kawasan luas ditentukan perisian (SD-WAN) and WiFi perniagaan. 

"HPE Aruba Networking Central dengan AIOps membolehkan rangkaian berkeupayaan AI yang mengutamakan keselamatan dengan menyampaikan analitik dikuasakan oleh AI, automasi dan penyelarasan hujung ke hujung, serta fungsi keselamatan canggih, kesemuanya untuk mengoptimumkan prestasi dan perlindungan rangkaian.

"Penyelesaian ini boleh membantu perniagaan untuk mengenal pasti isu secara proaktif, mengurangkan penyelesaian masalah kaedah manual dan mengoptimumkan prestasi rangkaian secara berterusan untuk meningkatkan pengalaman pengguna," menurut kenyataan itu. 

Menurut Maxis, kerjasama itu yang merupakan peristiwa penting dalam kolaborasi panjangnya bersama HPE, akan meningkatkan tawaran nilai Maxis Business kepada pelanggan, dengan memastikan penyampaian penyelesaian rangkaian yang lebih selamat dalam landskap ancaman siber yang sentiasa berubah. 

Kenyataan itu turut menyebut keselamatan siber merupakan keutamaan tertinggi bagi Ketua Pegawai Maklumat (CIO) dan pemimpin perniagaan di seluruh dunia, dengan permintaan yang kuat untuk perkhidmatan dan penyelesaian lebih selamat.

"Dengan asas Keselamatan Kepercayaan Sifar oleh HPE Aruba Networking, kebolehpercayaan setiap pengguna dan peranti dalam rangkaian akan melalui pengesahan secara berterusan bagi meningkatkan keselamatan.

"Reka bentuk ini memanfaatkan keupayaan teknologi AI yang berkuasa untuk mengenal pasti semua peranti yang bersambung, menyokong penyelarasan polisi berasaskan identiti di seluruh rangkaian," menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis Prateek Pashine berkata kerjasama itu memberikan perniagaan pilihan daripada pelbagai penyelesaian rangkaian dan keselamatan yang terkemuka serta disesuaikan kepada keperluan khusus mereka termasuk rangkaian penyelesaian HPE yang luas, merangkumi perkhidmatan rangkaian dari akses ke pinggir ke teras, dengan ciri keselamatan diintegrasikan.

“Kami berbesar hati dapat memperkembangkan kerjasama antara Maxis dan HPE dalam memberikan nilai yang lebih dan mengukuhkan keselamatan untuk perniagaan-perniagaan Malaysia dan kerjasama ini memperkayakan Perkhidmatan Rangkaian Terurus sedia ada Maxis Business.

"Maxis Business dan HPE bersama-sama boleh memperkasakan perniagaan dengan memanfaatkan kekuatan gabungan kami merentasi kesalinghubungan, perkhidmatan terurus dan rangkaian supaya pelanggan boleh menumpukan kepada mengembangkan perniagaan teras mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar HPE Aruba Networking untuk Asia Tenggara, Taiwan, Hong Kong dan Macau, Magic Hsu berkata, "Dengan peningkatan dalam penggunaan rangkaian berasaskan awan, perniagaan kini sedang beralih kepada penyelesaian rangkaian ditentukan perisian secara maya yang disediakan sebagai perkhidmatan.

"Kerjasama kami bersama Maxis akan dapat mengatasi kerumitan transformasi digital yang dialami oleh perusahaan di Malaysia dengan penawaran yang mengutamakan keselamatan dan dikuasakan oleh AI, untuk menyediakan pengalaman yang selamat dan dibezakan dari pinggir ke kampus ke pusat data ke awan dengan dasar Kepercayaan Sifar yang didorong oleh AI.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan