EKONOMI > BERITA

Malaysia-Poland Perkukuh Perkongsian Ekonomi Dan Strategik

04/09/2024 02:30 AM

PUTRAJAYA, 3 Sept (Bernama) -- Malaysia dan Poland bersetuju untuk mengukuhkan lagi hubungan ekonomi dan menggalakkan keberdayatahanan rantaian bekalan berikutan persekitaran geostrategik yang mencabar.

Perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat dua hala antara Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Luar Poland Radoslaw Sikorski, yang dalam lawatan sehari ke Malaysia pada Selasa, 3 Sept.

"Kedua-dua pihak juga membincangkan peningkatan kerjasama perdagangan dan pelaburan, serta mengukuhkan perkongsian sedia ada dalam pertahanan, pendidikan tinggi, pertanian dan pelancongan," menurut Kementerian Luar Negeri Malaysia yang dikenali juga sebagai Wisma Putra, dalam kenyataan pada Selasa.

Ini merupakan lawatan pertama Sikorski ke Malaysia sejak pelantikannya pada Disember 2023. Beliau diiringi Timbalan Menteri Pertahanan Pawel Ksawery Zalewski dan Timbalan Menteri Pertanian dan Kemajuan Luar Bandar Michal Kolodziejczak.

Wisma Putra berkata kedua-dua pihak menggariskan komitmen bersama untuk terus mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Poland susulan Mesyuarat Konsultasi Dua Hala kedua di antara kedua-dua Kementerian Luar Negeri di Warsaw pada Jun lepas.

Menurut kementerian itu, kedua-dua menteri juga bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa, termasuk situasi di Timur Tengah dan konflik Rusia-Ukraine. 

"Malaysia juga menzahirkan sokongan kepada permohonan Poland untuk menandatangani Triti Keamanan dan Kerjasama ASEAN (TAC),” menurut kenyataan itu. 

Menurut Wisma Putra, selaku Presiden Majlis Kesatuan Eropah pada penggal pertama 2025, Poland menyatakan sokongan terhadap Kepengerusian ASEAN-Malaysia pada tahun hadapan.

"Malaysia juga optimis Poland akan memainkan peranan penting dalam memperkukuh Kerjasama Strategik ASEAN-Kesatuan Eropah," menurut kenyataan itu.

Sikorski juga mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan lebih lanjut hubungan dua hala antara Malaysia dan Poland yang telah lama terjalin dan mempamerkan potensi besar untuk dikembangkan.

"Mereka juga membincangkan prospek kerjasama bidang baharu, terutamanya dalam sektor teknologi hijau dan ekonomi digital," menurut Wisma Putra, sambil menambah Sikorski juga mengulangi jemputan untuk Anwar melawat Poland pada 2025.

Pada 2023, Poland merupakan rakan dagangan kelapan terbesar Malaysia dalam Kesatuan Eropah.

Sepanjang Januari hingga Julai 2024, jumlah dagangan dua hala meningkat 14.7% kepada RM3.05 bilion (US$0.65 bilion) berbanding RM2.66 bilion (US$0.57 bilion) bagi tempoh yang sama pada 2023. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan