EKONOMI > BERITA

Northport Pecah Rekod Tertinggi, Kendali 365,558 Kontena Pada Ogos

04/09/2024 04:33 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Northport (Malaysia) Bhd merekodkan pengendalian kontena bulanan tertingginya untuk dua bulan berturut-turut, mengendalikan 365,558 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) pada Ogos 2024, meningkat daripada 354,548 TEU pada Julai 2024.

Syarikat itu turut mencipta rekod baharu untuk kargo konvensional dengan mengendalikan 1,145,021 tan berat muatan (FWT) pada Ogos, melepasi paras tertinggi sebelumnya iaitu 1,143,318 FWT yang dicapai pada Julai.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata prestasi yang konsisten dan memecahkan rekod bulan demi bulan menggambarkan kapasiti Northport yang berkembang dan peningkatan kecekapannya dalam mengendalikan jumlah kargo yang meningkat.

“Pencapaian ini menyerlahkan daya tahan dan keupayaan kami dalam bertindak balas kepada cabaran global dan perubahan perdagangan antarabangsa.

“Dengan terus meningkatkan infrastruktur dan perkhidmatan kami, kami telah memperkukuh peranan Northport sebagai pintu masuk penting untuk perkapalan global, yang mampu memenuhi keperluan pelanggan dalam keadaan pasaran yang dinamik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dari Januari hingga Ogos 2024, Northport menerima 171 singgahan kapal ad-hoc dan merekodkan sejumlah 13 perkhidmatan perkapalan baharu di pelabuhannya.

Limbungan kontena baharu, Blok K, telah beroperasi secara separa dan menyumbang kepada kendalian kontena yang lebih tinggi pada Ogos. Ia dijangka siap sepenuhnya pada September 2024.

“Kami berharap prestasi rekod ini akan membantu memastikan kedudukan Pelabuhan Klang antara 10 pelabuhan paling sibuk di dunia pada 2024,” tambahnya.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke semasa lawatannya ke Northport pada 27 Ogos, 2024 berkata Pelabuhan Klang, yang terdiri daripada Northport dan Westports kini berada di kedudukan ke-11 dalam 100 pelabuhan global terbaik untuk  2023 dalam laporan Lloyd's List, meningkat dari tangga ke-13 pada 2022.

Loke berkata Pelabuhan Klang berada di landasan yang betul untuk berada di kedudukan antara 10 pelabuhan kontena tersibuk di dunia pada 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan