EKONOMI > BERITA

Belanjawan 2025: Sokong Pelaburan Strategik Untuk Pacu Transformasi Digital - Pakar

11/09/2024 05:55 PM

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Belanjawan 2025 yang akan datang perlu menyokong pelaburan strategik untuk memacu transformasi digital, sokongan ini penting bagi Malaysia untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital, kata seorang pakar teknologi. 

Ahli lembaga World Digital Chamber, Georg Chmiel percaya Belanjawan 2025 memberikan peluang yang unik untuk membuka kunci pertumbuhan ekonomi selain memantapkan kedudukan negara dalam arena teknologi global.

Chmiel, yang juga Pengasas Bersama dan Pengerusi Juwai IQI, menjelaskan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab teknologi global, sektor itu memerlukan belanjawan yang akan membantu memudahkan perdagangan serta pelaburan antarabangsa.

“Bagi memacu Malaysia sebagai peneraju dalam teknologi baru muncul seperti kecerdasan buatan dan rantaian blok, kami berharap Kementerian Digital akan mengutamakan pelaburan serta insentif penyelidikan dan pembangunan yang mantap. 

"Dengan memperkemas peraturan, kita boleh menarik pelabur global selain membantu syarikat seperti Juwai IQI dan GoFlex Events mengembangkan jejak global mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Chmiel, masa depan teknologi di Malaysia bergantung kepada kemampuan pihak-pihak berkepentingan di sini untuk bekerjasama, berkongsi pengetahuan dan mencipta penyelesaian.

“Kerjasama adalah asas inovasi. Kita berharap Belanjawan 2025 akan menyokong perkongsian awam-swasta yang mampu memupuk hab inovasi dan memacu transformasi digital merentas industri,” katanya.

Beliau berpendapat dengan memberi tumpuan kepada inovasi, infrastruktur, pembangunan bakat, kemampanan serta daya saing global, kerajaan boleh memperkasakan industri teknologi untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan menyumbang ke arah merealisasikan wawasan Ekonomi MADANI. 

“Belanjawan 2025 bukan sekadar satu lagi rancangan fiskal, ia adalah pelan tindakan masa depan digital Malaysia dan akan menentukan trajektori negara kita untuk tahun-tahun akan datang. 

“Dengan pelaburan strategik dalam bidang yang betul, Malaysia boleh menerajui revolusi digital global, mewujudkan masa depan yang makmur dan mampan untuk semua,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan