EKONOMI > BERITA

IOI Prop Lancar Industrial Park@Banting Dengan GDV RM1.5 Bilion Pada Suku Kedua 2025

12/09/2024 03:49 PM

PUTRAJAYA, 12 Sept (Bernama) -- IOI Properties Group Bhd dijangka melancarkan IOI Industrial Park @ Banting dengan nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM1.5 bilion pada suku kedua 2025, kata Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Teh Chin Guan.

Beliau berkata taman perindustrian itu akan dibina di kawasan berkeluasan 130.31 hektar dan mempunyai 53 kluster, unit berkembar, kilang banglo dan tanah untuk dijual pada fasa pertama dengan keluasan 28.33 hektar.

Syarikat itu mempunyai tumpuan "intensif" terhadap infrastruktur seperti jalan dan sistem perparitan pada masa ini untuk memperlihatkan kepada pelabur sesuatu yang setara dengan taman perindustrian menjelang tahun depan, bukannya hutan dara atau tanah ladang, kata Teh.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan siri IOI Industrial Park di Iskandar Malaysia, Banting dan Melaka sebagai teras perolehan utama kumpulan.

Hadir sama Pengarah Bahagian Pelaburan Domestik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia Sukri Abu Bakar; Pengarah Bahagian Pembangunan Pelaburan Invest Selangor Nik Izuddin Nik Mohd Yusof; dan Pengurus Invest Johor (prapelaburan dan promosi) James Tan Wei Jie.

Siri IOI Industrial Park terdiri daripada IOI Industrial Park @ Banting di Selangor, IOI Industrial Park @ Iskandar Malaysia di Johor dan perancangan yang akan datang di Melaka.

Ia bertepatan dengan penjenamaan semula dan pengembangan iSynergy @ Kulai daripada 205.17 hektar kepada 445.15 hektar. 

Teh berkata syarikat itu sedang menyasarkan sumbangan perolehan sekurang-kurangnya 20 peratus setahun daripada portfolio perindustriannya dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Perolehan tahunan kami adalah sekitar RM2 bilion. Oleh itu, kami menyasarkan kira-kira RM400 juta setiap tahun untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

“Taman perindustrian kami di Melaka akan dilancarkan pada suku keempat 2025. Ia masih dalam perancangan. Kami mempunyai kira-kira 323.75 hektar dan sedang membina 80.94 hektar untuk permulaan,” katanya.

Teh berkata taman perindustrian di Melaka mempunyai sedikit perbezaan berbanding Johor dan Selangor kerana negeri itu terletak di tengah-tengah antara Selangor dan Johor.

“Ia akan berfungsi sebagai gudang, logistik, dan pusat dapur makanan dan minuman yang baik. Sesetengah perniagaan mungkin perlu memberi perkhidmatan kepada Selangor, dan Johor dan Melaka secara strategiknya berada di pusat itu.

“Dalam masa sehari, barang boleh dihantar ke utara dan selatan dalam tempoh dua jam,” katanya.

Kumpulan itu berharap untuk mempunyai dua lagi taman perindustrian dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang di Bahau, Negeri Sembilan dan Segamat, Johor.

Keuntungan bersih IOI Properties meningkat 48 peratus kepada RM2.06 bilion pada tahun kewangan 2024 daripada RM1.37 bilion tahun lepas. Perolehan meningkat 13.4 peratus kepada RM2.94 bilion daripada RM2.59 bilion.

Pada rehat tengah hari, saham meningkat 2.12 peratus kepada RM1.93 dengan 451,700 saham bertukar tangan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan