EKONOMI > BERITA

Momentum Positif Bursa Malaysia Dijangka Berterusan Pada Suku Keempat Dan Hingga 2025

26/09/2024 01:23 PM

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- MIDF Amanah Investment Bank Bhd menjangkakan momentum positif pasaran Bursa Malaysia akan berterusan pada suku keempat 2024 (S4), dipacu oleh pelaburan asing dan disokong oleh ekonomi yang sihat serta prospek pendapatan korporat yang memberangsangkan.

Ia berkata penanda aras FBM KLCI menunjukkan kenaikan yang lebih stabil berbanding negara rakannya di ASEAN apabila mencatatkan kenaikan sebanyak 15 peratus sejak awal tahun hingga 25 September.

“Kami berpendapat ini disebabkan FBM KLCI yang bermula dengan baik, yang mana ia tidak mengalami sebarang kelembapan pada suku kedua (S2).

“Bagaimanapun, FBM KLCI turut mendapat manfaat daripada perubahan sentimen ke arah positif. Ia mencatatkan kenaikan suku ke suku yang memberangsangkan sebanyak +5.2 peratus (setakat 25 Sept) pada suku ketiga (S3), menyebabkan indeks tersebut mencatatkan kenaikan dua digit setakat tahun ini,” katanya.

Memandangkan prospek mudah tunai dan asas yang masih positif, MIDF mengekalkan sasaran FBM KLCI, FBM Hijrah dan FBM70 untuk 2024 kepada 1,750 mata, 14,100 mata dan 18,900 mata.

“Kami menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tahun ini lebih tinggi kepada 5.0 peratus dan ia berkurangan sedikit kepada 4.6 peratus pada 2025.

“Kami juga menjangkakan pendapatan korporat tempatan akan kekal sihat pada masa hadapan dengan keadaan aktiviti ekonomi yang lebih meluas (domestik dan luar negara) di tengah-tengah tekanan harga yang berkurangan dan persekitaran kadar faedah yang rendah,” tambahnya.

Dalam konteks ini, pendapatan konsensus bagi FBM KLCI diunjurkan berkembang +4.6 peratus tahun ini dan +8.6 peratus pada 2025, menyebabkan MIDF menetapkan sasaran awal untuk 2025 pada 1,850 mata, yang sepadan dengan nisbah harga kepada pendapatan sebanyak 15.6 kali.

Selain itu, FBM Hijrah dan FBM70 diunjurkan mencatat pertumbuhan pendapatan tahun ke tahun yang kukuh masing-masing sebanyak 13.2 peratus dan 10.0 peratus pada tahun depan.

Sebaliknya, seperti yang digambarkan oleh beberapa petunjuk empirikal yang signifikan, ia menasihatkan pelabur untuk berhati-hati dan berwaspada terhadap risiko kemelesetan ekonomi AS yang semakin berkembang, berikutan pertumbuhan pasaran buruh yang lembap baru-baru ini.

"Selain itu, kita juga perlu berwaspada terhadap situasi yang tidak menentu di Ukraine dan Palestin, yang boleh meningkat secara tidak dijangka," katanya.

Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS pada mesyuaratnya baru-baru ini merujuk kepada lebih banyak pemotongan kadar faedah pada akhir tahun ini selepas pemotongan awal sebanyak -50 mata asas pada September.

Pasaran hadapan kadar faedah menjangkakan dua lagi pemotongan kadar pada tahun ini, dengan jumlah tambahan sebanyak -75 mata asas serta beberapa pemotongan kadar pada 2025.

“Memandangkan Bank Negara Malaysia dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) tidak berubah pada 2024 dan 2025, perbezaan kadar faedah antara ringgit dan dolar AS dijangka terus berkurangan sehingga tahun depan.

“Perbezaan kadar faedah yang mengecil adalah antara sebab mengapa kami percaya ringgit akan terus mengukuh berbanding dolar AS, dengan mata wang tempatan itu dijangkakan turun di bawah paras 4.00 pada 2025,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan