EKONOMI > BERITA

Johor Plantations Terbit Sukuk Wakalah Sulung Bernilai RM1.35 Bilion

26/09/2024 07:11 PM

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Johor Plantations Group Bhd berjaya menerbitkan Sukuk Wakalah sulungnya dengan jumlah agregat RM1.35 bilion dalam nilai nominal daripada Program Sukuk Wakalah syarikat itu.

Kumpulan berkenaan berkata penerbitan sukuk itu akan mengurangkan perbelanjaan faedah tahunannya dengan ketara.

"Kadar keuntungan gabungan bagi terbitan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) bernilai RM1.3 bilion ditetapkan pada 4.08 peratus berbanding purata 5.12 peratus bagi kemudahan sedia ada itu.

“Ini bermakna penjimatan yang dianggarkan kira-kira RM12.8 juta setiap tahun, menambah baik aliran tunai kumpulan dan meningkatkan keuntungan,” kata Johor Plantations dalam satu kenyataan.

Kumpulan itu berkata selepas pembayaran balik Pembiayaan Berjangka Sindiket Islam sebanyak RM1.5 bilion dan Pembiayaan Berjangka Islam sebanyak RM500 juta, cagaran bernilai RM2.4 bilion akan dikembalikan.

Keputusan strategik itu bukan sahaja akan memperkukuh kunci kira-kira Johor Plantation tetapi juga meningkatkan fleksibiliti dalam pengurusan aset.

“Selain itu, dengan menggabungkan beberapa pinjaman ke dalam kemudahan sukuk tunggal, Johor Plantations mempermudahkan pengurusan hutangnya dan mengurangkan kos pentadbiran.

"Struktur yang diperkemaskan ini dijangka meningkatkan kecekapan operasi dan seterusnya mengukuhkan kedudukan kewangan kumpulan," katanya.

Pengarah Urusan Mohd Faris Adli Shukery berkata kumpulan itu teruja dengan sokongan padu daripada pelabur dan ia terbukti dengan penerbitan sukuk tersebut telah terlebih langgan sebanyak 3.27 kali.

Beliau berkata permintaan kukuh itu menunjukkan keyakinan yang meluas terhadap prospek pertumbuhan jangka panjang kumpulan berkenaan.

"Kadar yang menggalakkan yang dicapai semasa penerbitan sukuk ini mencerminkan penarafan kredit AA1 kami dan menekankan kepercayaan pelabur terhadap kami sebagai peneraju dalam kemampanan, serta prestasi operasi dan pengurusan kami yang kukuh," katanya.

Johor Plantations berkata sukuk tersebut mempunyai pelarasan kenaikan kadar keuntungan sehala yang dikaitkan dengan pencapaian sasaran prestasi kemampanan yang telah ditetapkan.

Sasaran tersebut termasuk pengurangan intensiti karbon sebanyak 50 peratus (Skop 1 dan 2) daripada garis dasar pada 2012, kebolehkesanan 100 peratus kepada pembekal tandan buah segar (FFB) menjelang 2025 dan penggunaan air tahunan sebanyak 1.2 meter padu setiap tan metrik FFB atau kurang.

Maybank Investment Bank bertindak sebagai penasihat utama tunggal, penasihat penstrukturan kemampanan tunggal, pengatur utama bersama dan pengurus utama bersama bagi terbitan sukuk tersebut.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan