EKONOMI > BERITA

MITI Day 2024 Tawar Lebih 2,600 Peluang Pekerjaan Pada 1 Oktober

27/09/2024 03:11 PM

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- MITI Day 2024, anjuran Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menawarkan lebih 2,600 peluang pekerjaan kepada belia dan pencari kerja pada acara tahunan itu bertempat di Menara MITI di sini pada 1 Oktober ini.

Menurut MITI dalam kenyataan hari ini, pelbagai peluang dan insentif turut ditawarkan kepada wanita serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui penglibatan lebih 80 syarikat tempatan dan antarabangsa pada hari terbuka tersebut.

Katanya acara itu bakal menarik lebih 10,000 pengunjung yang berpeluang memanfaatkan inisiatif kerajaan dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi negara. 

Dalam kenyataan yang sama, menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kementerian mahu memastikan inisiatif yang ditawarkan dapat memanfaatkan semua lapisan industri – daripada syarikat pelbagai saiz hingga kepada golongan usahawan.

“Khusus bagi belia dan pencari kerja, mesej penting yang hendak disampaikan ialah mengenai prospek kerjaya yang baik dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

“Melalui pendekatan ini, saya yakin kita dapat bersama-sama membangunkan ekonomi yang lebih mampan dan inklusif untuk Malaysia,” katanya.

Katanya MITI Day 2024 bukan sekadar hari terbuka tetapi satu usaha yang menekankan keutamaan kementerian dalam memperkasakan ekonomi rakyat dan menyokong transformasi industri negara untuk kesejahteraan bersama. 

Antara sorotan utama pada acara itu ialah eksplorasi kerjaya; pameran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan akademi dalam industri; pameran kementerian dan agensi; taklimat perniagaan, pelaburan dan saham; jualan harga kilang dan usahawan tempatan; Mini Malaysia Autoshow dan kaunter diskaun saman Polis Diraja Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan