EKONOMI > BERITA

Pengerusi Bernama Dilantik Bagi Dua Jawatan Institut Pengurusan Bertauliah 

27/09/2024 02:43 PM

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah serantau Institut Pengurusan Bertauliah (CMI) bagi Malaysia.

Dalam kenyataan pada Jumaat, CMI berkata Wong yang juga Penasihat Star Media Group, turut dipilih sebagai ‘CMI Companion,’ peringkat keahlian tertinggi badan berprestij itu yang berpangkalan di United Kingdom (UK).

"Wong mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dalam bidang kewartawanan dan menyandang pelbagai jawatan tertinggi di peringkat editorial serta korporat,” katanya.

CMI merupakan sebuah institusi profesional berpengaruh bagi pengurusan dengan keahliannya di peringkat global.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Serantau CMI Malaysia Prof Emeritus Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata beliau yakin pengalaman dan jaringan perhubungan luas Wong dapat menyumbang kepada manfaat institusi itu.

Wong merupakan ahli Lembaga Pengarah Institut Strategi dan Kepimpinan Asia yang juga kumpulan pemikir bebas selain Cerebrum, kumpulan pemikir dan inovatif Johor Corporation (JCorp).

Mohamed Mustafa berkata Wong yang juga siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia, pernah berkhidmat sebagai Profesor Adjung di universiti itu serta Universiti Utara Malaysia.

"Beliau merupakan rakyat Malaysia pertama dipilih menyertai Forum Editor Sedunia berpangkalan di Paris dan pernah menjadi pengerusi Asia News Network berpangkalan di Singapura dan kini berkhidmat sebagai penasihat," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan