EKONOMI > BERITA

Pasaran Pusat Data Malaysia Terus Berkembang Didorong Lonjakan Dalam Permintaan - CBRE

27/09/2024 03:15 PM

Oleh Anas Abu Hassan

ISKANDAR PUTERI, 27 Sept (Bernama) -- Pasaran pusat data di Malaysia kini berkembang pesat dan akan terus berkembang lagi memandangkan bekalan semasa pusat data di negara ini masih tidak mencukupi untuk menampung permintaan yang semakin meningkat, menurut CBRE Group Inc.

Ketua Penyelesaian Pusat Data, Khidmat Nasihat dan Urus Niaga CBRE untuk Asia Pasifik Dedi Iskandar berkata pusat data Malaysia berada di tahap kedua dengan menyediakan landskap yang sangat menarik dan menawarkan peluang yang besar untuk pertumbuhan.

Beliau berkata negara ini menawarkan kawasan tanah yang luas yang mampu dimiliki, tenaga elektrik dan sumber air yang banyak serta ketersambungan yang lebih besar untuk operasi pusat data.

"Pasaran Malaysia mempunyai salah satu unjuran pertumbuhan tertinggi untuk kapasiti pusat data di rantau Asia Pasifik, dianggarkan berkembang pada 383 peratus dalam beberapa tahun akan datang. Ini bermakna terdapat keyakinan yang tinggi dalam kalangan pengendali pusat data global untuk membawa lebih banyak kapasiti ke dalam negara itu.

“Bekalan semasa untuk pusat data di Malaysia tidak mencukupi dan itulah sebabnya banyak syarikat sedang membina kapasiti pusat data baharu di negara ini,” katanya kepada Bernama di luar acara Invest Malaysia 2024 @ Iskandar Puteri, di sini pada Khamis.

Menurut Dedi, Malaysia juga menyaksikan penggunaan awan yang lebih cepat, mewakili kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 13 peratus, hanya satu peratus lebih rendah daripada CAGR global sebanyak 14 peratus pada tahun ini.

Paling mengejutkan, kesedaran tentang kecerdasan buatan (AI) di Malaysia juga antara yang tertinggi di rantau Asia Pasifik, katanya.

"Malaysia merupakan perintis dalam mengenal pasti dan menarik syarikat AI global untuk melabur di negara ini," katanya sambil menambah Malaysia memiliki salah satu ketersambungan paling canggih untuk menghubungkan rantau ini ke kawasan yang lebih luas di seluruh dunia.

Mengulas mengenai kapasiti tenaga di Johor, Dedi berkata kapasiti pusat data di negeri itu pada masa ini berada pada 154 megawatt dan kapasiti akan datang serta yang digunakan dijangka meningkat kepada sekitar dua gigawatt.

"Ini adalah petunjuk yang sangat jelas iaitu kapasiti tersebut bukan hanya untuk pasaran domestik, tetapi ia akan menjadi hab global untuk Asia Pasifik," katanya.

 

Kawasan yang berpotensi untuk pusat data seterusnya

Menurut Dedi, di tengah-tengah aktiviti yang sibuk untuk pusat data di Johor dan ibu kota Kuala Lumpur, Sarawak berpotensi menjadi 'hotspot" atau kawasan panas seterusnya untuk pemain-pemain pusat data.

“Kami mendapati Sarawak memiliki potensi yang besar kerana majoriti bekalan tenaga mereka adalah daripada grid berkuasa hidro dan ini adalah pilihan yang sangat menarik untuk pelabur.

“Bagaimanapun, cabaran utamanya ialah tiada ketersambungan yang mencukupi untuk menyediakan perkhidmatan yang lancar kepada pusat data walaupun mendapat sokongan baik daripada kerajaan,” katanya.

Dedi berkata Johor dan Kuala Lumpur telah menjadi negeri yang sangat berjaya untuk kemudahan pusat data berdasarkan pelbagai faktor, iaitu ketersambungan yang baik, pihak berkuasa negeri yang mesra perniagaan dan sokongan berterusan daripada kerajaan.

"Untuk meniru kejayaan tersebut di negeri-negeri lain di Malaysia, ia memerlukan lebih daripada sekadar ketersediaan kawasan tanah, tetapi anda perlu memastikan ketersambungan yang sesuai disediakan di lokasi-lokasi tertentu," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan