EKONOMI > BERITA

TNG Digital Gesa Kerajaan Lanjutkan Pengecualian SST Perkhidmatan Digital

03/10/2024 10:17 AM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Pengendali TNG eWallet, TNG Digital Sdn Bhd menggesa kerajaan agar kerajaan melanjutkan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas perkhidmatan digital dalam Belanjawan 2025.

Syarikat teknologi kewangan itu percaya pelanjutan itu penting bagi memastikan perkhidmatan digital kekal berpatutan dan boleh diakses oleh golongan komuniti yang kurang mendapat perhatian, khususnya golongan pendapatan B40 dan M40, serta perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS). 

Pelanjutan ini juga akan menggalakkan transaksi tanpa tunai, katanya menerusi e-mel kepada Bernama.

TNG Digital menekankan bahawa langkah pengecualian berterusan ini juga penting untuk memastikan segmen ini boleh mengakses perkhidmatan kewangan digital tanpa melibatkan kos tambahan yang berkaitan dengan transaksi tanpa tunai.

“Dari segi kesediaan pelanggan dan keuntungan, industri e-dompet dilihat masih belum matang. Disebabkan itu pelanjutan pengecualian SST ini akan memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan selanjutnya dan menggalakkan penggunaan pembayaran tanpa tunai yang lebih meluas.

"Ini sejajar dengan matlamat negara untuk mewujudkan sistem kewangan yang inklusif dan progresif," katanya.

Ia turut mencadangkan pelbagai langkah bagi meningkatkan keterangkuman kewangan dan menyokong pertumbuhan ekonomi, termasuk inisiatif yang menggalakkan perkhidmatan kewangan kepada penduduk yang tidak mempunyai akaun bank serta dasar untuk meningkatkan akses PMKS kepada peralatan digital.

Di samping itu, TNG Digital menyokong penambahbaikan dalam infrastruktur luar bandar, terutamanya dengan memperluas akses internet berkelajuan tinggi di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan untuk memudahkan transformasi digital dan penyertaan yang lebih besar dalam ekonomi digital.

Mengenai pembiayaan hijau, syarikat itu mencadangkan kerajaan mempertingkatkan skim Pemeteran Tenaga Bersih, membolehkan orang ramai menukar kredit Tenaga Nasional Bhd kepada kredit eWallet TNG, sekali gus menggalakkan amalan mampan.

Ia turut mencadangkan penubuhan program di seluruh negara untuk menukar sisa kitar semula kepada kredit e-dompet, sejajar dengan inisiatif ekonomi pekeliling yang dipelopori oleh Majlis Ekonomi Kitaran Kebangsaan.

“Untuk menangani cabaran pengurusan sisa Malaysia, program ini membolehkan peserta menukar bahan kitar semula kepada kredit e-dompet, memberi insentif kepada kitar semula dan menyokong matlamat untuk meningkatkan kadar kitar semula kepada 40 peratus menjelang 2025,” katanya.

Bagi menangani kos sara hidup yang semakin meningkat pula, TNG Digital mencadangkan kerajaan mengagihkan bantuan kewangan, seperti 'Sumbangan Tunai Rahmah' dan 'Bantuan Awal Persekolahan', melalui platform e-dompet.

Langkah ini akan memastikan penyampaian bantuan yang cekap dan mudah diakses kepada mereka yang paling memerlukan.

TNG Digital berharap cadangan-cadangan tersebut dipertimbangkan pada pembentangan 18 Oktober ini, bagi memacu pertumbuhan selanjutnya dalam ekonomi digital Malaysia serta menggalakkan keterangkuman kewangan dan menyokong inisiatif pembangunan mampan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan