EKONOMI > BERITA

Sektor GBS Malaysia Perlu Tumpu Impak Digital, Pembangunan Bakat Bagi Kekalkan Kelebihan Daya Saingnya

06/10/2024 12:04 PM

Oleh Wong Cheng Hau

PETALING JAYA, 6 Okt (Bernama) -- Walaupun Malaysia berada di kedudukan antara tiga hab perkhidmatan perniagaan global (GBS) terbaik dunia, didorong terutamanya oleh kelebihan dari segi kos, negara juga perlu memberi lebih penekanan kepada impak digital dan pembangunan bakat untuk mengekalkan kelebihan daya saingnya.

Joon Teoh, pakar GBS dan perunding transformasi digital berkata walaupun Malaysia disenaraikan sebagai destinasi GBS ketiga terbaik dalam Indeks Lokasi Perkhidmatan Global (GSLI) 2023, ini tidak boleh dianggap remeh kerana “dimensi berwajaran” boleh berubah pada masa depan, berpotensi menyebabkan negara terkeluar daripada senarai 10 terbaik.

Beliau berkata sebanyak 78 negara dalam senarai GSLI dinilai berdasarkan empat kategori utama -tarikan kewangan; kemahiran dan ketersediaan tenaga kerja; persekitaran perniagaan dan tarikan digital, dengan wajaran berbeza diterapkan dalam setiap kategori. 

“Sebelum ini dan sehingga kini, wajaran tarikan kewangan ialah 35 peratus dan wajaran tarikan digital hanya 15 peratus manakala kemahiran dan ketersediaan tenaga kerja serta persekitaran perniagaan, masing-masing menyumbang 25 peratus. 

“Apa yang kami ingin sampaikan ialah pada masa depan, apakah yang syarikat (GBS) mahukan apabila mereka memutuskan untuk menempatkan perkhidmatan perniagaan global di tempat tertentu? Adakah mereka meletakkan begitu banyak wajaran hanya pada tarikan kewangan? Itulah persoalannya,” katanya kepada Bernama di luar Sidang Kemuncak GBS AGOS 2024 di sini baru-baru ini.

Menurut laporan GSLI 2023 oleh perunding pengurusan global Kearney, India, China dan Malaysia mendahului indeks tahun lepas. Malaysia mencatatkan skor keseluruhan 6.5 dengan sumbangan tertinggi sebanyak 2.58 daripada tarikan kewangan, yang merangkumi faktor seperti kos tenaga kerja dan infrastruktur.

Teoh berkata jika wajaran tarikan digital serta kemahiran dan ketersediaan tenaga kerja, masing-masing naik 10 peratus manakala tarikan kewangan merosot 20 peratus dengan persekitaran perniagaan kekal tidak berubah, kedudukan GBS Malaysia boleh terkeluar daripada senarai 10 terbaik dalam keadaan sedemikian.

“Ia adalah satu cabaran dan sudah tentu, ini adalah jangkaan tetapi merupakan jangkaan yang amat penting yang tidak boleh diabaikan,” katanya.

Laporan GSLI 2023 turut mendedahkan bahawa apabila fokus beralih kepada kemahiran dan ketersediaan tenaga kerja serta tarikan digital, negara-negara yang memberi tumpuan kepada kos kehilangan kelebihan daya saing mereka, dengan negara-negara seperti Malaysia, Indonesia, Vietnam, Thailand dan Mexico berisiko tinggi untuk terkeluar daripada senarai 10 terbaik.

Malaysia menduduki tempat ketiga dalam GSLI selama 20 tahun sejak indeks tersebut, biasanya diterbitkan setiap dua tahun, dilancarkan buat kali pertama pada 2004.

Syarikat multinasional akan mewujudkan pusat GBS di negara seperti Malaysia untuk menyediakan perkhidmatan seperti kewangan, sumber manusia, perolehan, rantaian bekalan dan teknologi maklumat kepada anak syarikat mereka di seluruh dunia dengan menggunakan teknologi digital.

Teoh berkata berdasarkan Kaji Selidik Digital & AI GBS AGOS 2024, yang menemu bual 34 syarikat GBS di Malaysia, kira-kira 10 peratus daripada responden berada dalam kumpulan teratas, menunjukkan penggunaan dan kesedaran yang tinggi terhadap teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI). 

Bagaimanapun, kebanyakannya berada dalam kumpulan ketiga, dengan kesedaran tinggi tetapi penggunaan rendah.

Teoh, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif AGOS Asia berkata aspek positif daripada kaji selidik yang dijalankan oleh firma perunding GBS ialah kebanyakan syarikat GBS telah mula mengguna pakai teknologi seperti proses automasi robotik, analisis lanjutan dan AI.

“Kami mendapati 75 peratus daripada mereka telah mula menerima pakai teknologi ini. Ini bermakna, ia mungkin telah bermula pada tahun pertama atau tahun kedua tetapi kurang daripada tiga tahun. Ini perkembangan yang amat menggalakkan,” katanya.

Beliau turut menekankan kepada keperluan meningkatkan usaha dalam penggunaan digital dan AI untuk mengekalkan kedudukan Malaysia dalam GSLI berikutan negara kini berada dalam kedudukan pilihan utama.

Katanya ini juga akan dapat menunjukkan satu kajian kes yang berjaya untuk menarik pelabur berpotensi yang mempertimbangkan pelaburan di Malaysia.

 

Pengembangan Global 

Pada masa depan, beliau menegaskan syarikat GBS Malaysia perlu memikirkan strategi digital dan AI yang ingin diguna pakai.

“Apabila mereka mengetahuinya, mereka perlu berkomunikasi dengan pekerja mereka dan memastikan mereka menerimanya dan memacu strategi tersebut,” katanya.

Teoh berkata pusat GBS perlu memastikan bakat mereka dilatih dengan baik untuk menerima dan mengguna pakai teknologi baharu selain mampu memberikan cadangan yang diperlukan kepada pasukan pengurusan. 

Kaji selidik itu turut menunjukkan ketersediaan kumpulan bakat yang dilengkapi dengan kemahiran teknologi maju yang masih menjadi cabaran, memerlukan lebih perhatian kepada peningkatan kemahiran dan pembangunan bakat untuk memenuhi permintaan industri.

Teoh berharap sektor GBS Malaysia dapat berkembang di peringkat global, berdaya maju bukan sahaja di Asia tetapi juga di seluruh benua Eropah dan inilah sebabnya Sidang Kemuncak GBS AGOS 2024 bertemakan “Kepimpinan Global: Menerajui Pengembangan GBS, Penjanaan Bakat dan Kemajuan AI​”.

“Tahun ini ialah mengenai kepimpinan global, bermakna sebagai perkhidmatan perniagaan global, mampukah kita pergi lebih jauh daripada hanya memberikan perkhidmatan di benua Asia? Bolehkah kita menggunakan Malaysia sebagai pangkalan walaupun untuk benua Eropah? Itu adalah satu perkara yang perlu dilihat, mengenai pengembangan GBS,” katanya.

Berdasarkan Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025), perkhidmatan global (GS), yang terdiri daripada hab utama, GBS dan operasi ibu pejabat, merupakan penyumbang utama pelaburan langsung asing dalam sektor perkhidmatan.

Jumlah pelaburan dalam sektor GS dianggarkan mencecah RM89 bilion menjelang 2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan