EKONOMI > BERITA

Usaha Kerjasama Dengan GLIC Pacu Pelaburan Domestik Lebih Besar - Khazanah

07/10/2024 03:44 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Entiti milik kerajaan, yang “lazimnya dikecam” kerana lebih “mendapat keutamaan” berbanding penggiat persendirian, sebaliknya mempunyai tanggungjawab untuk “menarik penglibatan” pemain swasta dan pihak berkepentingan lain, kata Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.

Beliau berkata entiti milik kerajaan adalah sebahagian daripada ekosistem yang lebih luas, dan dihubungkan dalam landasan yang sama.

Menurutnya entiti sedemikian perlu bekerjasama dengan syarikat swasta, kerajaan, pengawal selia, pengurus dana, yayasan, pertubuhan bukan kerajaan dan ahli akademik.

"Sehubungan itu, kami mengadakan satu sesi, dengan membincangkan usaha kerjasama antara syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk berusaha dan memacu pelaburan domestik yang lebih besar bagi pertumbuhan ekonomi di Malaysia di bawah program GEAR-uP Kementerian Kewangan," katanya dalam ucapan alu-aluan pada Forum Megatrend Khazanah 2024 (KMF2024) di sini hari ini.

Amirul Feisal menekankan bahawa "Dana-Dana Negara" adalah contoh pendekatan "yang telah dimulakan berikutan penggabungan Penjana Kapital dan Malaysia Venture Capital Management Bhd (MavCap)."

"Berbanding daripada kami menjadi rakan kongsi terhad individu yang berusaha menyokong pembangunan ekosistem modal teroka Malaysia, kami yakin adalah lebih munasabah untuk mencuba pendekatan yang diselaraskan, memanfaatkan kepakaran kolektif kesemua entiti kami," katanya.

Amirul Feisal menekankan bahawa Khazanah dibentuk oleh matlamat strategik menyeluruh iaitu ‘Memajukan Malaysia’.

“Oleh itu, dalam melaksanakan strategi itu, kami perlu, antaranya, memastikan penciptaan nilai dalam syarikat, dengan kami mempunyai pegangan saham yang besar, melabur secara strategik dalam menyelesaikan isu yang dihadapi Malaysia melalui dana impak kami atau 'Dana Impak', atau melalui platform peralihan tenaga kami UEM Lestra Bhd.

“Ini menghasilkan pulangan terlaras risiko yang kukuh daripada operasi pelaburan global kami dan memberikan nilai kemasyarakatan kepada pemegang kepentingan utama kami, iaitu rakyat Malaysia,” katanya.

Bertemakan “Pursuit of Potatoes: Paving Paths from the Probable to the Possible,” KMF2024 menghimpunkan 31 penceramah terkemuka daripada pelbagai negara dan latar belakang untuk berkongsi idea dan pandangan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan