EKONOMI > BERITA

Belanjawan 2025 Peruntuk RM421 Bln, Peningkatan 3.3 Peratus dari Peruntukan Tahun Lalu

18/10/2024 04:01 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) —Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM421.0 bilion, atau 20.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK),  peningkatan 3.3 peratus daripada RM407.5 bilion yang diperuntukkan dalam belanjawan 2024 yang disemak semula.

Sebelum ini, kerajaan Persekutuan telah menyemak jumlah perbelanjaan 2024

kepada RM407.5 bilion daripada RM393.8 bilion selepas mengambil kira perbelanjaan tambahan untuk subsidi, dan antara lainnya.

Kementerian Kewangan (MoF) berkata, daripada Belanjawan 2025, RM335 bilion atau 79.6 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan disalurkan kepada perbelanjaan mengurus (OE), baki RM86 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan membangun (DE).

“Tiga penerima utama Belanjawan 2025 ialah Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) yang secara kolektif menyumbang 31 peratus daripada jumlah keseluruhan, kata Kementerian Kewangan dalam laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2025 yang dikeluarkan hari ini.

Dari segi peruntukan sektor, sebanyak RM163 bilion atau 38.7 peratus daripada jumlah perbelanjaan diperuntukkan kepada sektor sosial diikuti ekonomi (RM62.2 bilion; 14.8 peratus), keselamatan (RM42.6 bilion; 10.1 peratus) dan pentadbiran am (RM23.1 bilion; 5.5 peratus).

Baki RM130.1 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan tanggungan dan bayaran pindahan.

Pada 2025, OE dianggar berjumlah RM335 bilion atau 16.1 peratus daripada KDNK iaitu peningkatan sebanyak 4.2 peratus berbanding peruntukan 2024 yang disemak semula berikutan peruntukan yang tinggi untuk emolumen, bayaran persaraan dan bayaran khidmat hutang (DSC).

Jika dibandingkan dengan jumlah OE bagi peruntukan 2024 yang disemak semula, RM321.5 bilion atau 78.9 peratus diperuntukkan untuk OE manakala baki RM86 bilion atau 21.1 peratus diperuntukkan untuk DE dikekalkan dalam Belanjawan 2025.

MoF turut menjelaskan bahawa peruntukan perkhidmatan dan bekalan juga dijangka meningkat bagi memenuhi permintaan terhadap penyampaian awam yang berkesan.

Bagi kerajaan negeri, MoF berkata RM9.3 bilion daripada jumlah OE diperuntukkan untuk pemberian dan serahan kepada

kerajaan negeri dengan RM7.2 bilion merupakan pemberian seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Peruntukan terbesar adalah untuk penyelenggaraan jalan negeri,” katanya lagi.

MoF turut menegaskan bahawa DE sebanyak RM86 bilion dikekalkan pada 2025 yang merupakan tempoh akhir Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dengan sektor ekonomi merupakan penerima tertinggi (46.5 peratus) diikuti oleh sosial (34.8 peratus), keselamatan (14.3 peratus) dan pentadbiran am (4.4 peratus).

“Di bawah Rolling Plan Kelima, hampir 2,000 projek dan program baharu diluluskan dengan anggaran kos berjumlah RM58.6 bilion.

MoF menegaskan bahawa kerajaan kekal komited dalam meningkatkan disiplin perbelanjaan melalui pelaksanaan pelbagai program berpaksikan rakyat.

“Kerangka menyeluruh Ekonomi MADANI menjadi panduan kepada pelaksanaan inisiatif Kerajaan menjelang akhir tempoh RMKe-12 dan pada masa yang sama menyediakan asas kepada RMKe-13,” katanya.

-- Bernama


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan