EKONOMI > BERITA

Peranan Malaysia Sebagai Pengerusi ASEAN Dorong Pendigitalan, Tarik Pelabur Asing

04/11/2024 01:14 PM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun depan akan menjadi pemangkin kepada penerimagunaan teknologi termaju negara terutama dalam pendigitalan, justeru menjadikannya lebih menarik dalam kalangan pelabur asing.

Ketua Pegawai Eksekutif TeamViewer, Oliver Steil berkata syarikat itu dijangka berminat untuk melabur di Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Tiada rancangan yang jelas buat masa ini, tetapi kami tetap melabur di negara yang berbeza. Oleh itu, bagi saya bukan sesuatu yang mengejutkan sekiranya kami mewujudkan operasi (di Malaysia) dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Syarikat perisian Jerman itu terkenal dengan perisian kawalan jauh, menghubungkan kesemuanya, daripada pelantar minyak kepada syarikat teknologi serta pasukan Formula One.

Beribu pejabat di Goppingen di selatan Jerman, perisian kawalan jauh syarikat itu pada kebiasaannya digunakan oleh pasukan sokongan teknologi maklumat.

Bersandarkan dorongan Malaysia ke arah pendigitalan di peringkat domestik dan serantau, Steil melihat Malaysia berpotensi besar dalam pendigitalan ekonomi.

“Banyak pendigitalan (proses dan teknologi) berkemungkinan masuk (ke Malaysia).

"Ekonomi Malaysia adalah kukuh, dan terdapat beberapa syarikat besar yang akan memacu kemajuan teknologi," katanya.

Steil berkata sebagai syarikat gergasi teknologi, TeamViewer masih memfokuskan kepada perniagaannya di Singapura dan boleh memberi perkhidmatan kepada Malaysia dari negara itu.

Dari segi perspektif serantau, Steil menyifatkan ASEAN sebagai kawasan pertumbuhan yang menarik, justeru TeamViewer memberikan tumpuan dan pelaburan tambahan.

 

 

Peluang dan cabaran dalam pertumbuhan ekonomi digital ASEAN

Dorongan ASEAN ke arah pendigitalan diperkukuhkan lagi dengan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) rantau ini.

DEFA bermatlamat untuk menyediakan rangka kerja menyeluruh bagi kejelasan mengenai elemen digital dalam aktiviti ASEAN yang sedang dilaksanakan dan untuk masa akan datang serta menyokong struktur pemilikan yang lebih jelas bagi badan sektoral isu dan hasil.

Ekonomi digital ASEAN dilaporkan dianggar berkembang daripada kira-kira US$300 bilion (US$1 = RM4.38) kepada hampir US$1 trilion menjelang 2030.

Blok serantau itu juga adalah antara ekonomi paling pesat berkembang di dunia, dengan Tabung Kewangan Antarabangsa mengunjurkan purata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar sebenar mencecah 4.6 peratus pada 2023 dan 4.7 peratus tahun ini.

Senada dengan Steil, Presiden TeamViewer bagi Asia Pasifik Sojung Lee berkata ASEAN mempunyai peluang besar dalam industri teknologi memandangkan penduduk rantau ini yang berjumlah lebih 670 juta adalah dua kali ganda berbanding Amerika Syarikat.

“Berikutan tenaga kerja yang semakin berusia dan keperluan untuk melatih penduduk lebih muda, tidak kira di mana mereka berada, satu-satunya pendekatan untuk melaksanakannya adalah berkembang dengan cepat menerusi sokongan teknologi.

“Memandangkan Malaysia meneraju ASEAN sebagai pengerusi pada 2025, ia dalam kedudukan yang baik untuk melaksanakan perubahan ini,” katanya.

Lee berkata keperluan untuk memendekkan masa latihan pekerja adalah cabaran yang dihadapi oleh banyak negara.

Beliau berkata ia amat penting di Malaysia memandangkan industri perkhidmatan menyumbang sebanyak 50 peratus daripada KDNK negara.

“Sehubungan itu, keperluan kepada perkhidmatan pelanggan yang cemerlang adalah kritikal. Mengintegrasikan teknologi seperti AI (kecerdasan buatan) dan AR (realiti terimbuh) dalam latihan dan menawarkan pelanggan pengalaman yang luas adalah penting bagi rantau ini untuk terus berkembang,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan