EKONOMI > BERITA

KUSKOP, MoF Dan KESUMA Perinci Penyelarasan Kenaikan Gaji Minimum Bagi PMKS - Ewon

11/11/2024 03:53 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersedia mengadakan perbincangan lanjut dengan Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengenai penyelarasan gaji minimum bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata KUSKOP juga akan memperincikan inisiatif-inisiatif lain untuk memastikan kesan kenaikan gaji minimum terhadap perusahaan tersebut dapat dikurangkan.

"KUSKOP mengambil perhatian serius terhadap kesan kenaikan gaji terhadap syarikat milik usahawan PMKS dan menyedari bahawa peningkatan gaji minimum secara umumnya akan memberi kesan kepada aliran tunai dan kos operasi perniagaan mereka.

“Sehubungan itu, KUSKOP bersedia mengadakan perbincangan lanjut dengan MoF dan KESUMA untuk memperincikan inisiatif yang dapat membantu mengurangkan kesan kenaikan gaji minimum terhadap usahawan PMKS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat dasar bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Walau bagaimanapun, Ewon berkata peningkatan gaji minimum itu secara tidak langsung menggalakkan PMKS memberi perhatian terhadap aspek pendigitalan dan automasi dalam menjalankan operasi syarikat untuk faedah jangka panjang.

“Terdapat kemungkinan pengurangan pengambilan pekerja bagi memastikan kos yang lebih efektif, di mana syarikat lebih cenderung untuk mengambil pekerja kontrak berbanding lantikan tetap,” kata beliau.

Sementara itu, beliau berkata dari Januari hingga September 2024, seramai 10,515 usahawan memperoleh pembiayaan secara berkumpulan di bawah Program Skim Teman Tekun dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM81.3 juta.

“Program ini berkonsepkan pembiayaan secara berkumpulan yang lebih mudah, cepat, dan efisien untuk penjaja bagi mengembangkan lagi perniagaan mereka,” katanya.

Katanya, sehingga 30 Sept 2024, seramai 2,451 penjaja dan peniaga kecil telah menerima Pembiayaan Mikro-i Penjaja dan Peniaga Kecil (MPPK 2.0) oleh Bank Rakyat di bawah skim tersebut melibatkan jumlah sebanyak RM49.76 juta.

“Skim ini menawarkan pembiayaan maksimum sehingga RM50,000 dan tiada kadar faedah yang dikenakan,” tambah beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan