EKONOMI > BERITA

Hospital Pakar Swasta Dengan Pelaburan RM150 Juta Bakal Dibina Di Juasseh, Kuala Pilah

11/11/2024 08:53 PM

SEREMBAN, 11 Nov ( Bernama) -- Sebuah hospital pakar swasta membabitkan pelaburan bernilai RM150 juta bakal dibina di daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan dijangka siap menjelang 2028, menerusi kerjasama Oval Gallery Sdn Bhd dan Sena Healthcare Services Sdn Bhd.

Pengerusi Oval Gallery Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar berkata pembinaan hospital berkapasiti 240 katil itu melibatkan tapak seluas 0.946 hektar di Taman Redani, Juasseh dan dijangka bermula pada akhir 2025 dengan kelulusan prapenubuhan Kementerian Kesihatan pada 2019.

Pembinaan dan operasi hospital ini akan dikendalikan oleh Sena Healthcare.

“Pelaburan sebanyak RM150 juta akan dikeluarkan untuk (menampung) kos pembinaan dan operasi awal hospital ini.

“Fasa pertama melibatkan penyediaan sebanyak 120 katil manakala selebihnya akan ditambah kemudian," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang turut disaksikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun di sini, hari ini.

Tunku Nadzaruddin berkata hospital itu tidak hanya menjadi mercu tanda baharu Kuala Pilah, malah memberi manfaat kepada penduduk termasuk di Jempol, menawarkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat serta menyumbang kepada kemajuan ekonomi daerah itu.

Sementara itu, Aminuddin menyifatkan penglibatan pihak swasta dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan seumpamanya dapat membantu rakyat mendapatkan khidmat rawatan lebih sistematik. 

Usaha itu juga bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memastikan penduduk menikmati taraf hidup lebih baik, lebih-lebih lagi dengan lokasi hospital yang strategik di jalan utama menghubungkan daerah Seremban, Kuala Pilah, Jempol dan Tampin selain dengan sempadan Johor dan Pahang.

“Hospital ini bakal menawarkan perkhidmatan kepada penduduk di daerah-daerah itu yang berjumlah hampir setengah juta orang.

“Penduduk di sempadan negeri seperti di Muar dan Segamat, Muadzam, Rompin dan Mersing juga akan mempunyai pilihan untuk mendapatkan rawatan,” katanya. 

Aminuddin berkata kehadiran kalangan petugas profesional seperti doktor pakar serta kakitangan sokongan juga secara tidak langsung dapat memberi sumbangan ekonomi kepada masyarakat setempat.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan