EKONOMI > BERITA

Pertama Digital Selesaikan Proses Penyepaduan MyDigital ID Ke Dalam Produk Utama

11/11/2024 09:58 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Pertama Digital Bhd (Pertama Digital) berjaya menyelesaikan kerja-kerja penyepaduan yang menggabungkan MyDigital ID ke dalam produk utamanya.

Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata menerusi anak syarikatnya Dapat Vista (M) Sdn Bhd, ia telah menggabungkan MyDigital ID ke dalam inisiatif eJamin, Kocek dan MyPay yang mengukuhkan lagi komitmennya untuk menyokong usaha transformasi digital kerajaan Malaysia.

“Penyepaduan strategik ini membuka ruang bagi mewujudkan ekosistem digital yang lebih selamat, mudah diakses dan berkesan bagi rakyat Malaysia,” katanya.

Menurut syarikat itu, penyepaduan dengan MyDigital ID melangkaui teknologi, menggambarkan komitmen Pertama Digital untuk menjadikan perkhidmatan digital mudah diakses, selamat dan praktikal untuk rakyat Malaysia.

Pengarah Eksekutif kumpulan Sabri Ab Rahman berkata penyepaduan dengan MyDigital adalah satu pencapaian penting dalam usaha syarikat untuk mewujudkan penyelesaian inovatif digital bagi memenuhi keperluan orang ramai.

“Dengan penyepaduan MyDigital ID ke dalam platform sedia ada, kami menyediakan satu identiti digital yang selamat dan memperkemaskan akses kepada perkhidmatan penting untuk rakyat.

“Kerjasama dengan kerajaan Malaysia akan mempertingkatkan lagi tahap keselamatan digital dan memudahkan rakyat Malaysia untuk menggunakan perkhidmatan asas, memperkasakan cara melayari kehidupan digital dengan yakin,” katanya.

Justeru, Pertama Digital komited untuk terus meningkatkan penyelesaian digital bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia yang semakin berkembang.

Beliau berkata, syarikat itu merancang untuk menambah produk yang ditawarkan, mewujudkan kerjasama baharu dan meningkatkan kemampuan semua platformnya.

Pada masa sama, katanya, syarikat itu akan terus kekal kepada misinya untuk mempromosi keterangkuman digital dan keselamatan.

Pertama Digital adalah syarikat penyedia penyelesaian digital inovatif merentasi pelbagai sektor, termasuk perkhidmatan kewangan, teknologi undang-undang dan penyelesaian digital.

 

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan