EKONOMI > BERITA

Hab Perdagangan Pelabuhan Teluk Sapangar Beri Impak Pada Sabah

21/11/2024 02:51 PM

KOTA KINABALU, 21 Nov (Bernama) -- Aspirasi Kerajaan Sabah yang mahu menonjolkan Pelabuhan Teluk Sapangar sebagai hab perdagangan di rantau ini dijangka memberikan impak positif yang signifikan terhadap ekonomi negeri dalam jangka masa panjang, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu hari ini.

Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik berkata selepas mengambil alih operasi pelabuhan daripada Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB), syarikat DP World, pengendali terminal pelabuhan global, telah merangka pelbagai strategi dan halatuju untuk mencapai matlamat ini. 

"Langkah utama yang dirancang termasuk membesarkan Kapasiti Pelabuhan Kontena, yang mana DP World merancang memperluas kapasiti Pelabuhan Teluk Sapangar agar mampu menampung lebih banyak kargo dan meningkatkan kecekapan logistik.

“Ini akan memperkukuh kedudukan Sabah sebagai pusat perkapalan yang berdaya saing di rantau ini. Kolaborasi dengan operator antarabangsa akan dilaksanakan iaitu meningkatkan kecekapan melalui penggunaan amalan terbaik.

“DP World akan memperkenalkan amalan terbaik dan teknologi terkini yang akan mempercepatkan proses pemindahan kargo dan meminimumkan masa operasi," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Datuk Jaffari Waliam (ADUN Dilantik) yang bertanya apakah hala tuju DP World selepas mengambil alih operasi pelabuhan daripada SPSB.

Pada 9 Sept lepas, SPSB secara rasmi telah menyerahkan pengurusan dan operasi Sapangar Bay Container Port (SBCP) kepada DP World, peneraju global dalam logistik rantaian bekalan pintar.

Mengulas lanjut, Robert berkata DP World juga akan memperkukuhkan laluan perdagangan strategik melalui kerjasama ke arah memperluaskan rangkaian laluan maritim yang utama.

Ia sekali gus dijangka dapat mengurangkan kos logistik dan maritim untuk para pengguna, sekaligus menjadikan Sabah lebih kompetitif sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan.

Pembangunan zon bebas di pelabuhan akan membuka peluang besar untuk menarik lebih banyak pelaburan asing, menggalakkan pertumbuhan aktiviti hiliran selain meningkatkan pengeluaran kargo.

"Peningkatan dalam aktiviti ekonomi ini akan menyumbang kepada hasil negeri melalui cukai korporat, yang akan dikutip oleh kerajaan Sabah," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan