EKONOMI > BERITA

Untung Bersih RHB Bank Melonjak Kepada RM833.19 Juta Pada Suku Ketiga Tahun Kewangan 2024

29/11/2024 02:45 PM

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih RHB Bank Bhd (RHB Bank) melonjak kepada RM833.19 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept, 2024 berbanding RM649.95 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Prestasi itu dicapai disebabkan oleh jumlah pendapatan yang lebih tinggi dan jangkaan kerugian kredit (ECL) yang lebih rendah.

RHB Bank dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata perolehan kumpulan meningkat kepada RM4.51 bilion berbanding RM4.22 bilion sebelumnya.

Namun, katanya, tiada dividen diisytiharkan untuk suku dalam penilaian.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2024, RHB Bank menyaksikan keuntungan bersihnya meningkat kepada RM2.29 bilion berbanding RM2.22 bilion sebelumnya manakala perolehan lebih tinggi pada RM13.33 bilion berbanding RM12.18 bilion sebelumnya.

“Pendapatan keseluruhan meningkat 11.3 peratus tahun ke tahun kepada RM6.4 bilion, dipacu oleh pertumbuhan dalam kedua-dua pendapatan berasaskan dana bersih dan bukan berasaskan dana.

“Nisbah kos kepada pendapatan bank meningkat kepada 46.0 peratus berbanding 47.1 peratus tahun ke tahun dan pulangan ke atas ekuiti kumpulan berjumlah 9.8 peratus untuk sembilan bulan pertama tahun kewangan 2024,” katanya.

RHB Bank berkata ECL mereka berjumlah RM461.6 juta pada sembilan bulan pertama tahun kewangan 2024 yang menunjukkan penurunan berturut-turut sebanyak 29.9 peratus berbanding suku kedua bagi tahun kewangan 2024.

Melangkah ke hadapan, RHB Bank menjangkakan kestabilan berterusan di Malaysia dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjurkan pada lima peratus pada 2025 dan kadar dasar semalaman (OPR) dijangka kekal pada tiga peratus tahun depan.

"Kumpulan akan kekal tangkas dalam menghadapi landskap yang berkembang, memanfaatkan inovasi digital dan kewangan mampan untuk memacu pertumbuhan berkualiti yang berterusan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan