EKONOMI > BERITA

Rosniza Tinggal Kerjaya Minyak Dan Gas Demi Jadi Tauke Air Berkarbonat

03/12/2024 10:15 AM

Oleh Razif Rosli

MANJUNG, 3 Dis (Bernama) -- Keputusan untuk berhenti dalam industri minyak dan gas setelah 15 tahun berkhidmat tidak pernah dikesali oleh seorang wanita yang kini memiliki perniagaan minuman berkarbonat dan berjaya menghasilkan pulangan lumayan.

Tindakan berhenti makan gaji pada 2013 itu nampaknya berhasil selain membuka ruang yang luas kepada Pengurus Maaman Trading, Rosniza Saaiddin, 47.

Beliau memberanikan diri dengan berjinak-jinak dalam dunia perniagaan warisan keluarga milik suaminya di samping menguruskan rumah tangga dan anak-anak.

Rosniza berkata selepas meninggalkan alam pekerjaan, dia memulakan perniagaan minuman ringan berkenaan dengan bermodalkan RM30,000 sejak 1 Jun 2013 di bawah jenama Alif.

"Saya mengambil alih perniagaan ini daripada suami yang menjalankan perniagaan ini secara kecil-kecilan dan kemudian menukarkan jenama asal iaitu Alif kepada Zeeper agar kelihatan lebih komersial. 

"Selama tiga tahun kami perlahan-lahan bergerak, saya gunakan simpanan, jual peralatan lain termasuk kereta untuk kami kembangkan perniagaan dan pada masa itu, lebih RM300,000 telah dibelanjakan, malah sehingga kini masih tidak menggunakan sebarang pinjaman daripada bank," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Rosniza berkata pada tahun pertama memulakan perniagaan, beliau banyak dibantu oleh suaminya Abdul Rahman Basri, 49, iaitu daripada proses membancuh air hinggalah kepada membungkus minuman. 

Bagaimanapun, katanya sedikit pengalaman dalam bidang makanan dan minuman (F&B) menjadikannya tidak kekok untuk mengendalikan perniagaan apatah lagi dia turut menghadiri kelas serta kursus untuk meningkatkan kemahiran. 

Beliau berkata agensi kerajaan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) banyak membantunya dari segi khidmat analisis manakala Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pula membantu dari segi pemasaran.

Walaupun kini terdapat banyak minuman berkarbonat di pasaran dengan pelbagai jenama, warna dan pembungkusan menarik, namun beliau yakin produknya mempunyai keunikan tersendiri. 

"Air berkarbonat Zeeper dihasilkan menggunakan sembilan jenis air tapisan yang mempunyai air alkali pada kadar 9.5 pH dengan kandungan gula serta gas yang lebih rendah berbanding produk lain yang ada dalam pasaran. 

"Setakat ini kita mempunyai 11 produk termasuk oren, strawberi, sarsi, kola, epal, anggur, krim soda, soda biru, buah-buahan dan terbaharu adalah durian belanda serta kola gaharu.

"Kami juga dalam proses untuk menghasilkan produk air asam jawa serta minuman isotonik," katanya sambil memaklumkan setakat ini syarikatnya mampu mengeluarkan lebih 30,000 liter produk minuman sebulan termasuk permintaan melalui tempahan majlis keraian.

Mengulas lanjut mengenai produknya, ia terdapat dalam dua saiz berbeza iaitu 1.25 liter yang berharga RM2.80 dan saiz kecil 320 mililiter (ml) berharga RM1.50 selain boleh didapati di semua pasar raya terpilih.

"Selain orang perseorangan yang datang membeli, setakat ini kami membekalkan produk kepada pasar raya, koperasi, stesen minyak dan usahawan-usahawan yang berminat untuk menjadi ejen atau pengedar Zeeper," katanya.

Menurut Rosniza, kini produknya dijual di 14 stesen minyak yang akan ditambah pada tahun hadapan di seluruh Semenanjung.

Katanya, untuk perancangan 2025, pihaknya sedang bekerjasama untuk memasarkan Zeeper tanpa karbonat di koperasi sekolah.

Katanya, produk Zeeper sudah berada di pasaran antarabangsa di Ireland dan Singapura apabila dibawa oleh ejen yang menetap di kedua-dua negara tersebut.

"Walaupun produk kami sudah berada di luar negara, namun tumpuan utama adalah untuk berkembang dalam negara dan saya sedang berusaha untuk memastikan setiap produk yang dihasilkan dapat diperoleh di setiap kedai runcit," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan