EKONOMI > BERITA

PENGGUNAAN TENAGA ELEKTRIK PUSAT DATA DIJANGKA MENINGKAT SEHINGGA 20.9 GW MENJELANG 2040

11/12/2024 03:19 PM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) menjangkakan keperluan bekalan elektrik bagi pusat data meningkat sehingga 20.9 gigawatt (GW) menjelang 2040.

Timbalan Menterinya Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata unjuran itu diperoleh menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan, Pelaksanaan dan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) yang turut mengunjurkan keperluan bekalan elektrik bagi pusat data menjelang 2030 berjumlah kira-kira 7.7 gigawatt.

“Ia mengambil kira pembangunan kapasiti penjanaan baharu untuk baseload (beban asas) termasuk daripada sumber gas dan peningkatan penjanaan daripada sumber rendah karbon untuk memenuhi unjuran permintaan berkenaan.

“Sebagai langkah penyelesaian segera, PETRA telah mengenal pasti juga loji janakuasa sedia ada untuk dilanjutkan tempoh operasi kerana pembinaan loji janakuasa gas yang baharu akan mengambil masa antara 4-5 tahun untuk disiapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang  Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat dasar bagi kementerian tersebut di Dewan Negara, hari ini. 

Sementara itu, Akmal Nasrullah berkata PETRA juga sedang memberi tumpuan untuk merancakkan lagi pembangunan sumber  tenaga boleh baharu (TBB).

Beliau berkata ia bertujuan untuk meningkatkan komposisi sistem bekalan elektrik hijau yang rendah karbon dalam sistem pembekalan elektrik negara serta memastikan aspirasi sifar bersih 2050 dapat dicapai.

“Bagi tujuan tersebut, kerajaan telah memperkenalkan program TBB seperti Self Consumption (SELCO), New Enhanced Dispatch (NEDA), Corporate Green Power Programme (CGPP), dan Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS)
bagi meningkatkan penjanaan dan akses pusat data kepada bekalan tenaga hijau.

“Kesemua initiatif ini akan meningkatkan kapasiti penjanaan elektrik termasuk daripada sumber TBB untuk menampung permintaan bekalan elektrik dari pusat data,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan