EKONOMI > BERITA

STESEN PEMINDAHAN SISA PEPEJAL KUALA LUMPUR 2 DILENGKAPI TEKNOLOGI AI, PENGURUSAN LEBIH LESTARI

11/12/2024 04:07 PM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Kuala Lumpur (TSKL 2) yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) membuka lembaran baharu dalam pengurusan sisa pepejal negara dengan menjadi pemangkin kepada sistem yang lebih lestari dan cekap di ibu negara, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata pembukaan TSKL 2 merupakan langkah strategik ke arah merevolusi pengurusan sisa pepejal negara melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), dan stesen itu juga diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records sebagai 'Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Terbesar dilengkapi Sistem AI'. 

"TSKL 2 bukan sekadar infrastruktur baharu, tetapi satu lagi komitmen kementerian untuk mengintegrasikan teknologi bagi menangani peningkatan sisa pepejal akibat globalisasi," katanya pada majlis perasmian TSKL 2 di sini, hari ini.

Beliau berkata Kuala Lumpur yang kini menjadi antara 10 bandar raya paling popular di dunia dari segi pelancongan, menerima purata 2,495.66 tan sisa sehari.

Nga berkata TSKL 2 menggantikan stesen lama yang telah beroperasi lebih 22 tahun dan mampu menampung sisa yang diterima melalui 450 kenderaan kompaktor berkapasiti 16 tan. 

Beliau seterusnya mengumumkan peruntukan RM327.5 juta untuk melaksanakan pelbagai projek baharu dalam pengurusan sisa pepejal, termasuk pembinaan sel baharu, stesen pemindahan dan penutupan selamat tapak
pelupusan sisa pepejal di Krubong, Melaka; Pontian, Johor dan Tampin, Negeri Sembilan. 

"Tapak-tapak ini akan ditransformasikan menjadi Lestari Park yang bertujuan menyediakan ruang untuk aktiviti riadah dan dilengkapi dengan elemen landskap menarik bagi memupuk gaya hidup sihat. 

"Pembinaan Lestari park di Bandar Tenggara, Kota Tinggi, Johor yang berkeluasan 18.7 ekar melalui kementerian ini dijangka siap awal 2025. Taman itu yang berkonsepkan stroller garden ini juga dilengkapi komponen landskap seperti wakaf dan pergola, pagar, tandas, sudut informasi, dataran, walkway, windmill serta mesra Orang Kurang Upaya, dijangka dapat memberikan manfaat kepada hampir 200,000 orang,” katanya.

Selain itu Nga berkata kementerian telah memulakan perancangan untuk membina 18 loji Waste-to-Energy (WtE) di seluruh Malaysia yang mampu menjana sehingga 600 megawatt tenaga boleh baharu. Loji-loji itu dijangka megurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan dan memanfaatkan sisa sebagai sumber tenaga.

"Transformasi seperti ini tidak hanya melindungi alam sekitar, tetapi juga mengoptimumkan penggunaan tanah. Ini adalah langkah progresif yang mencerminkan komitmen kerajaan MADANI untuk pembangunan yang bermanfaat dan inklusif," katanya.

TSKL 2 yang berkeluasan 13 ekar mampu mengenal pasti, menyusun dan memproses sisa pepejal secara automatik dan teknologi ini juga sekali gus mengurangkan kebergantungan kerja secara manual, mempercepatkan proses pemindahan dan memastikan pengurusan sisa yang lebih lestari serta mesra alam.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan