EKONOMI > BERITA

Pegangan Pelabur Asing Dalam Pasaran Modal Kekal Lebih 19 Peratus Setakat Jan 2025 - PM Anwar

13/02/2025 03:38 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata jumlah peratusan pegangan pelabur asing dalam pasaran modal di Malaysia berada pada tahap 19.4 peratus setakat Januari 2025.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan pegangan pelabur asing dalam pasaran modal negara kekal pada tahap 19 peratus sejak 2023 dengan mencatatkan 19.5 peratus dan bertambah kepada 19.7 peratus pada akhir 2024.

"Januari 2025 masih 19.4 peratus, jadi (penurunan kecil) itu tidak menggambarkan (kekurangan) keyakinan kepada ekonomi negara," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang bertanya mengenai punca ramai pelabur asing menjual pegangan saham mereka dalam negara.

Anwar juga berkata firma penyelidikan bagi ekuiti global seperti Nomura Global Market Research, JP Morgan dan HSBC juga telah menaikkan taraf pengesyoran mereka bagi saham syarikat awam.

 

Nilai pelaburan meningkat, aliran bon positif

 

Perdana Menteri menjelaskan pelaburan asing ke dalam negara secara keseluruhan turut mencatatkan peningkatan seperti yang dilihat bagi tempoh sembilan bulan pertama pada tahun lepas.

"Saya harus ingatkan kita kena lihat keseluruhannya, iaitu kenyataan bahawa (tempoh) sembilan bulan pertama keluaran dalam negeri kasar (KDNK) masih menggalakkan.

"Nilai pelaburan dalam (tempoh) sembilan bulan pertama 2024 naik 10.7 peratus ketimbang (berbanding) pada tempoh sama 2023, ini kenaikan yang agak besar," katanya.

Dalam pada itu, Anwar menyatakan bahawa pasaran bon turut menunjukkan aliran bersih positif.

"Setakat tahun ini, aliran bersih bon dari pelabur luar ialah RM1.55 bilion. Ini kalau dia tak yakin orang tak hantar masuk dalam sistem ini RM1.55 bilion," kata beliau.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa perkara yang penting bagi beliau adalah tentang kadar pertumbuhan, peningkatan pelaburan dan kekuatan ringgit.

"Ini sebenarnya petanda dari segi fundamental walaupun masalahnya seluruh dunia. Terutama dengan beberapa keputusan Presiden Donald Trump baru-baru ini yang menjejaskan Eropah, Kanada, Mexico, China, Latin Amerika dan Afrika keseluruhannya," kata beliau.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan daripada Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut), Anwar turut bersetuju dengan cadangan perubahan pimpinan Bursa Malaysia dengan maksud memberikan peluang pembaharuan.

Anwar dalam pada itu menempelak dakwaan pembangkang kononnya isu berkaitan dokumen tambahan telah menyebabkan kemasukan pelaburan asing ke Malaysia merudum.

Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai mengarut dan tidak berasaskan fakta, yang mana menunjukkan jumlah dagangan saham dalam negara meningkat kepada RM2 trilion pada tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan