KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus memperkukuh serta menambah baik saluran dan mekanisme sedia ada bagi mempermudah urusan perdagangan dan pelaburan dalam mata wang tempatan.
Dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Rabu, Kementerian Kewangan (MoF) berkata langkah itu secara langsung dapat menyokong usaha ke arah memastikan kelestarian dan kestabilan kewangan serantau.
“Peningkatan penggunaan mata wang tempatan dalam (usaha) penyelesaian perdagangan serantau menunjukkan tahap kesedaran dan permintaan yang semakin kukuh.
“Namun, kebebasan untuk memilih mata wang penyelesaian itu tertakluk kepada keputusan komersial syarikat perdagangan,” katanya.
Ini sebagai menjawab pertanyaan Oscar Ling Chan Yew (PH-Sibu) mengenai usaha Malaysia dalam mengurangkan kebergantungan kepada dolar Amerika Syarikat (AS) serta penilaian terhadap keberkesanan setiap usaha berkenaan.
MoF berkata kerajaan dan BNM telah mengambil langkah proaktif bagi menggalakkan penggunaan mata wang tempatan dalam penyelesaian perdagangan dan pelaburan rentas sempadan.
Objektif utama langkah-langkah ini adalah untuk membolehkan pengurusan pendedahan kepada risiko pertukaran asing yang lebih cekap, sekali gus mengukuhkan daya tahan ekonomi terhadap faktor luaran.
Selain itu, kerajaan dan BNM juga telah meneroka peluang kerjasama dalam penyelesaian mata wang tempatan dengan negara-negara strategik seperti China sejak 2009, Thailand sejak 2016 dan Indonesia sejak 2017 yang mempunyai nilai dagangan dua hala yang tinggi.
“Inisiatif sebegini berpotensi meningkatkan tahap kecekapan dan kecairan pasaran mata wang tempatan dan secara langsung boleh membawa kepada manfaat dua hala kepada ekonomi-ekonomi serantau,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial