KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Keuntungan bersih Mah Sing Group Bhd bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2024 meningkat kepada RM240.75 juta berbanding RM215.29 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan 2023, mencerminkan permintaan yang berdaya tahan berikutan harga yang berpatutan dan lokasi projek yang strategik.
Pendapatan pada tahun kewangan 2024, bagaimanapun, menurun kepada RM2.52 bilion daripada RM2.60 bilion sebelum ini, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Untuk suku keempat tahun kewangan 2024, syarikat itu mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM60.44 juta berbanding RM64.74 juta pada suku tahun yang sama, manakala hasil menokok kepada RM744.42 juta daripada RM671.27 juta.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Sing Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum menjelaskan prestasi yang mantap pada 2024 menetapkan asas yang kukuh untuk 2025.
“Kami mensasarkan jualan hartanah sebanyak RM2.65 bilion tahun ini. Berbanding dengan pelancaran hartanah kediaman pada 2024, mulai 2025 dan seterusnya, kumpulan akan mempunyai saluran pembekalan yang lebih pelbagai, merangkumi pembangunan projek kediaman, komersil bercampur, perindustrian dan pusat data yang menjamin pendapatan berulang,” katanya.
“Dengan lembaran imbangan yang mantap, kedudukan tunai lebih kurang RM1.35 bilion serta penggearan bersih rendah sebanyak 0.16 kali, kami berada di kedudukan yang baik untuk pengambilalihan tanah strategik dan pelaksanaan projek yang cekap,” katanya melalui satu kenyataan berasingan kepada Bursa Malaysia.
Menurut pemaju hartanah itu, pasaran hartanah kediaman dijangka kekal berdaya tahan pada tahun ini, dipacu oleh persekitaran pekerjaan tempatan yang stabil selain kenaikan gaji untuk penjawat awam dan inisiatif Akaun 3 KWSP yang fleksibel.
“Perumahan yang mampu milik akan terus menjadi pemacu utama seperti M-Series Mah Sing yang memenuhi keperluan pembeli pertama dan kumpulan berpendapatan pertengahan, manakala M-Series yang dinaik taraf dengan unit premium bermula dari RM700,000 akan menarik mereka yang mahu menaik taraf, pembeli asing serta pelabur.
“Strategi Mah Sing adalah untuk memberi tumpuan kepada segmen hartanah kediaman teras sambil meneroka peluang baru muncul dalam perkembangan industri, pusat data dan pembuatan,” katanya lagi.
Sementara itu, kumpulan itu telah mengisytiharkan dividen peringkat tunggal akhir sebanyak 4.5 sen bagi setiap saham biasa untuk tahun kewangan 2024, yang akan dibayar menjelang 26 Mei 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial