EKONOMI > BERITA

AirAsia Pindahkan Perkhidmatan Domestik Di LTSAAS Ke KLIA T2 Berkuat Kuasa 7 April

06/03/2025 07:39 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mac -- AirAsia akan memindahkan perkhidmatan domestiknya dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Lapangan Terbang Subang) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA T2) berkuat kuasa 7 April, 2025.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata ia bertujuan untuk mengoptimumkan kecekapan operasi berikutan meningkatnya permintaan terhadap perjalanan dan mempertingkatkan lagi pengalaman penerbangan secara keseluruhan.

"Walaupun Lapangan Terbang Subang adalah mudah, terutamanya kepada penduduk bandar, pembangunan semulanya untuk menyokong pertumbuhan masa depan akan mengambil masa.

"Dalam pada itu, AirAsia akan menggabungkan operasinya di KLIA T2 bagi mengoptimumkan kecekapan operasi dan meningkatkan pengalaman para tetamu secara keseluruhan," katanya.

AirAsia juga berkata dengan jumlah penumpang antara Kuala Lumpur dan destinasi-destinasi utama seperti Kota Kinabalu dan Kuching meningkat secara ketara melebihi 16 peratus dari tahun ke tahun, penggabungan operasi domestik di KLIA T2 akan membolehkan syarikat penerbangan itu menampung penambahan trafik dengan lebih baik.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata infrastruktur di KLIA T2 lebih sesuai untuk memenuhi keperluan penerbangan sambungan berskala besar, terutamanya pada waktu puncak perjalanan. 

"Ia juga menyediakan kapasiti yang diperlukan untuk pertumbuhan berterusan apabila kami menambah lebih banyak penerbangan bagi memenuhi permintaan tinggi ke Sabah dan Sarawak," katanya.

Bagi memastikan peralihan yang lancar, beliau berkata syarikat penerbangan itu akan terus beroperasi dari Lapangan Terbang Subang sepanjang minggu sambutan Hari Raya untuk memenuhi permintaan sedia ada.

Ini membolehkan majoriti tetamu yang melakukan perjalanan sempena musim perayaan itu menikmati kemudahan berkenaan sebelum peralihan sepenuhnya ke KLIA T2.

“Sesi perundingan positif dengan konsortium Gateway Development Alliance (GDA) juga memastikan peralihan ini sejajar dengan pembangunan infrastruktur yang lebih baik serta matlamat ketersambungan jangka panjang," katanya.

AirAsia memulakan operasinya di Lapangan Terbang Subang pada 30 Ogos, 2024 dengan memperkenalkan dua laluan iaitu Kuching dan Kota Kinabalu.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan