EKONOMI > BERITA

Perbelanjaan Domestik, Pelaburan Kukuh Teguhkan Ekonomi Dalam Cabaran Global – HLIB

07/03/2025 05:25 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Perbelanjaan domestik negara yang berdaya tahan dan rancangan pelaburan yang kukuh dijangka menyokong ekonomi dalam keadaan cabaran luaran berikutan ketidaktentuan perdagangan global, menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).

HLIB dalam nota penyelidikan hari ini berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia terus berdepan dengan risiko penurunan memandangkan perang perdagangan global semakin meningkat dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memberi amaran untuk mengenakan duti terhadap semikonduktor.

Menurutnya aktiviti pelaburan akan disokong oleh kemajuan selanjutnya projek jangka panjang, aliran pelaburan yang baik serta pelaksanaan pelbagai inisiatif menerusi pelan induk negara.

HLIB berkata, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melaporkan bahawa pelaburan yang diluluskan pada 2024 berjumlah RM378.5 bilion daripada RM329.5 bilion pada 2023.

Bagaimanapun perbelanjaan domestik negara yang berdaya tahan dan perancangan pelaburan yang kukuh sebahagiannya dapat meredakan impak permintaan luar yang lemah.

“Memandangkan Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan pertumbuhan stabil dan inflasi yang boleh diurus, kami terus menjangkakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal pada 3.00 peratus sepanjang tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) yakin meskipun bank pusat global berkecenderungan melonggarkan kadar faedah -- kecuali Bank of Japan -- BNM dijangka mengekalkan OPR sepanjang 2025.

Menurutnya kadar semasa menyokong pertumbuhan ekonomi serta menguruskan risiko inflasi, terutamanya daripada kesan potensi rasionalisasi subsidi.

"Risiko inflasi adalah berterusan berikutan pelarasan dasar domestik tetapi dijangka dibendung menerusi langkah bersasar," katanya.

Kenanga IB berkata pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) kekal terdedah kepada ketidaktentuan luaran, termasuk peralihan dalam dasar perdagangan AS menerusi pentadbiran Trump.

Peningkatan perang perdagangan AS-China boleh melambatkan pemulihan ekonomi China, walaupun rangsangan domestiknya boleh membantu mengurangkan kesannya.

Walaupun terdapat risiko ini, permintaan domestik dijangka mengekalkan pengembangan, katanya.

“Kami mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 2025 pada 4.8 peratus pada 2025 (2024: 5.1 peratus)

“Walaupun ini mencerminkan sedikit penyederhanaan, asas ekonomi kekal stabil, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, peningkatan pendapatan isi rumah, peningkatan ketibaan pelancong dan perbelanjaan kerajaan yang berterusan.

"Prospek itu juga menyumbang kepada aktiviti ekonomi untuk kembali ke tahap normal berikutan asas yang tinggi pada 2024," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan