EKONOMI > BERITA

IOI Properties Akan Lancar Senna ExChange, Pembangunan Terkini Di Sepang

10/03/2025 03:00 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- IOI Properties Group Bhd (IOIPG) akan melancarkan Senna ExChange iaitu tawaran pembangunan komersial pertama di perbandaran ikoniknya, Senna Puteri di Salak Tinggi, Selangor.

IOIPG dalam satu kenyataan hari ini berkata hab komersial berkenaan menawarkan 37 kedai pejabat dua tingkat dan 12 kedai pejabat tiga tingkat di atas tanah seluas 3.14 hektar.

Katanya, ia menawarkan peluang baharu kepada usahawan dan pelabur yang ingin memanfaatkan prospek komersial yang semakin berkembang di Sepang.

Senna ExChange, secara strategiknya terletak berhampiran pusat bandar lama Salak Tinggi dan disokong dengan populasi yang semakin berkembang melebihi 400,000 orang dari kawasan sekitarnya.

Pemaju hartanah itu berkata projek ini dijangka mendapat manfaat daripada kedudukannya yang berhampiran dengan stesen Express Rail Link (ERL) Salak Tinggi yang jaraknya hanya tiga kilometer sekali gus meningkatkan aksesibiliti kepada penumpang laluan rel yang melebihi 20,000 orang setiap hari.

Sementara itu, Ketua Jualan, Pemasaran dan Penjenamaan Kumpulan IOIPG, Nicole Lee Chee Yiing berkata Senna ExChange mengikut jejak pelancaran kumpulannya terdahulu iaitu Arena Xchange di Kota Warisan.

Katanya, projek itu habis terjual dalam tempoh empat bulan selepas pelancaran dengan kadar penghunian yang tinggi iaitu dalam tempoh enam bulan selepas siap.

Beliau berkata kejayaan ini mempamerkan potensi pembangunan Sepang yang mencatatkan pertumbuhan populasi selain pemaju melancarkan rangkaian produk yang rancak di kawasan perbandaran ini.

"Pertumbuhan pesat dan pemodenan dipacu oleh inisiatif seperti Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS) serta projek utama seperti Terminal 1 dan Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Litar Antarabangsa Sepang, Taman Aeroangkasa Selangor dan pelbagai taman industri baharu di kawasan tersebut.

"Pemilik perniagaan dan pelabur boleh berbincang dengan perunding jualan kami yang mesra untuk merebut peluang baharu yang ditawarkan oleh Senna ExChange selain memanfaatkan demografi yang berkembang pesat dan ketersambungan pengangkutan yang baik di kawasan ini," katanya.

Pemaju itu berkata, Senna ExChange juga akan dilengkapi dengan empat stesen pengecasan kenderaan elektrik dan menggalakkan penggunaan mobiliti hijau itu di kawasan perbandaran sekitarnya bersama dengan 534 petak tempat letak kereta yang memberikan kemudahan kepada pengunjung.

Ia berkata dua titik akses jalan menggalakkan aliran trafik di seluruh pembangunan ini dengan sambungan terus ke Jalan Kota Warisan-Bandar Baru Salak Tinggi.

Selain itu, melengkapi Senna ExChange merupakan Aurelia, pelancaran kediaman pertama di Senna Puteri yang terletak di tengah-tengah landskap hijau yang subur.

Menurut IOIPG, Aurelia memanfaatkan kedudukan strategiknya dan permintaan semakin meningkat kawasan perbandaran ini dengan 386 rumah bandar tiga tingkat kontemporari di puncak bukit bersama keluasan binaan bermula dari 157.00614 meter persegi untuk unit bawah dan 217.0215 meter persegi untuk unit atas dengan harga bermula dari RM495,000.

Dalam pada itu, Pengurus Besar IOIPG Bangi dan Sepang, Wong Peen Fook berkata komponen kediaman seperti Aurelia berada tidak jauh dari Senna ExChange yang akan menyediakan kemudahan kepada pemilik serta penduduk.

Beliau berkata pembeli juga boleh menikmati promosi dan pakej menarik sempena musim perayaan ini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan