BELANJAWAN 2024 > BERITA

Meningkatkan Keseimbangan Hidup Dan Kerja Industri Pembinaan

31/08/2024 10:29 AM
From: Erda Khursyiah Basir

Indeks Keseimbangan Hidup dan Kerja Global 2024 yang meletakkan Malaysia di tangga kedua terbawah daripada 60 negara pada Jun lepas, pastinya bukanlah suatu perkara yang menggembirakan. 

Kajian yang dijalankan syarikat perkhidmatan sumber manusia global, Remote, meletakkan Malaysia di tangga ke-59 daripada 60 negara dengan Keluaran Dalam Negara Kasar tertinggi di dunia.

Kajian itu menganalisis data yang dikumpul pada Mac 2023 dengan mengambil kira beberapa faktor berkaitan tempat kerja, antaranya bilangan hari cuti tahunan berkanun, bayaran sakit berkanun minimum, bilangan hari cuti bersalin berkanun, peratusan gaji untuk cuti bersalin berkanun, gaji minimum, penjagaan kesihatan, indeks kebahagiaan, purata waktu kerja mingguan dan hubungan sejenis.

Susulan dapatan itu, Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata, kerajaan melaksanakan pelbagai penambahbaikan untuk memastikan rakyat Malaysia mempunyai suasana kerja yang sihat, selamat dan lebih manusiawi.

Ini termasuk meratifikasi Konvensyen C155 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), selaras dengan penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan) 2022 bermula 1 Jun lepas, selepas dua tahun dipinda.

Akta itu yang sebelum ini meliputi hanya 10 sektor ekonomi kini terpakai untuk semua sektor berkenaan bagi memastikan satu keadaan persekitaran tempat kerja yang lebih selamat dan sihat.

Beliau berkata pada tahun ini juga, Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) melatih lebih 10,000 pemberi pertolongan cemas kesihatan mental pekerjaan di syarikat swasta dan jabatan kerajaan bagi memastikan tempat kerja selamat dan sihat bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi juga mengimbangi kesihatan mental.

 

TERPAKSA BEKERJA LEBIH MASA

Mengulas perkara berkenaan, Pakar Kesihatan dan Pekerjaan Dr Shawaludin Husin berkata, pelbagai faktor menyumbang kepada kedudukan Malaysia dalam kajian itu, antaranya, kos sara hidup yang tinggi terutamanya di bandar-bandar besar, kenaikan harga barang serta peningkatan kos bahan mentah dan tenaga buruh.

pic-2

“Tidak dinafikan gaji meningkat dengan kadar gaji minimum pada ketika ini RM1,500 tetapi kuasa membeli masih tidak jauh berbeza akibat beberapa kekangan tersebut. Ia seterusnya membawa kepada isu pekerja perlu bekerja lebih masa malah ada yang terpaksa melakukan dua hingga tiga pekerjaan bagi mencari pendapatan sampingan sehingga menjejaskan kehidupan mereka.

“Apabila terpaksa bekerja lebih masa, kesannya tidak mendapat rehat yang cukup. Walaupun ramai golongan muda yang bekerja sendiri dan menceburi ekonomi gig, namun kebanyakannya masih berhadapan isu kewangan yang tidak stabil.

“Hal ini membawa kesan kepada rantaian ekonomi. Kuasa beli tidak meningkat, pekerja stres akibat kurang rehat dan ini menyebabkan keseimbangan kehidupan bekerja (work-life balancetidak dapat berlangsung dengan baik,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. 

Mengaitkan perkara itu turut berlaku dalam sektor pembinaan, beliau yang juga Presiden Persatuan Pengamal Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MOHPA) berkata, isu pemindahan kos sebagai contoh daripada kontraktor kepada sub-kontraktor dan beberapa peringkat seterusnya seringkali berlaku sehingga akhirnya margin keuntungan yang diterima pekerja peringkat bawahan adalah dalam skala yang kecil. 

Beliau berkata, walaupun pekerja di tapak pembinaan lazimnya didominasi oleh warga asing, namun perkara yang perlu diberikan perhatian ialah soal keselamatan dan kesihatan pekerja secara keseluruhan seperti kemalangan di tempat kerja, kelesuan, tidak cukup tidur, terjatuh bangunan, sakit tulang temulang serta pengabaian penyakit seperti asma, serangan jantung akibat kerja berlebihan dan kepenatan melampau sehingga boleh membawa kepada kematian mengejut di tempat kerja. 

“Kesedaran berhubung keselamatan dan kesihatan ini mungkin ada tetapi disebabkan faktor ‘desakan’ hidup, mereka tetap perlu meneruskan kerja tanpa menjadikan ia sebagai keutamaan. 

“Pekerja tempatan juga mungkin berhadapan risiko keselamatan dan kesihatan yang lebih besar jika syarikat pembinaan mengambil langkah mengurangkan kos dengan mengabaikan standard keselamatan yang ditetapkan.

“Lebih-lebih lagi jika mereka lebih bergantung kepada tenaga kerja asing atas faktor kos yang lebih rendah, maka layanan ‘pukul rata’ juga akan berlaku kepada pekerja tempatan tanpa mengutamakan kebajikan mereka,” katanya.

 

AKKP (PINDAAN) 2022, AKTA 520

Berpendapat Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 dapat meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja di seluruh negara, Dr Shawaludin berkata, penguatkuasaannya mewajibkan majikan menganalisis risiko di tempat kerja dan melantik penyelaras keselamatan kesihatan.

pic-3

“Menerusi akta itu, syarikat yang mempunyai lima pekerja ke atas wajib melantik seorang penyelaras dan dengan adanya orang terlatih ini, maka diharap persekitaran tempat kerja akan menjadi lebih selamat,” katanya menambah, langkah itu sememangnya dinanti-nantikan oleh pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Beliau berkata, antara lain, Akta 520 adalah satu tindakan untuk membentuk Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) pada 1994, yang dilaksanakan untuk menawarkan kepakaran CIDB dalam industri pembinaan tempatan dan perkara lain yang berkaitan.

Merujuk laman web https://www.cidb.gov.my/, dalam Akta 520, kualiti dan keselamatan pembinaan merupakan tunggak utama yang diwartakan penguatkuasaannya.

Akta ini melibatkan tiga perkara utama iaitu peningkatan kualiti pembinaan melalui pendaftaran kontraktor, personel binaan, pemerakuan kemahiran dan kompetensi; jaminan kualiti bahan binaan melalui penetapan dan pematuhan kepada standard, dan perletakan tanggungjawab mengurus dan memastikan keselamatan bangunan dan kerja pembinaan semasa atau selepas kerja pembinaan ke atas kontraktor dan pengurus tapak.

Dr Shawaludin menambah, sekiranya semua aspek dijalankan dengan penuh tanggungjawab dan berpandukan akta yang ditetapkan, ia mampu menarik lebih ramai warga tempatan untuk bekerja di sektor pembinaan dan mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja asing.

“Pekerja tempatan lebih ada ‘suara’ berhubung isu keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja berbanding warga asing… barulah nanti ketiga-tiga aspek ini  akan menjadi lebih penting dan mendapat perhatian yang lebih serius oleh pihak berwajib,” katanya menambah, dominasi warga asing dalam sektor pembinaan mengakibatkan isu penting berkaitan pekerja sukar diperjuangkan.

 

TIDAK MENJADI BUDAYA

Sementara itu, Ketua dan Pakar Perunding Kanan Psikiatri, Jabatan Perubatan Psikologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata, pendedahan indeks tersebut amat penting kepada rakyat Malaysia kerana ia secara langsung memberi gambaran tekanan kerja berlebihan yang ditanggung oleh pekerja di negara ini.

pic-4

“Dari aspek psikologi, ketidakseimbangan work-life balance ini boleh mendedahkan pekerja kepada risiko burnout dan gangguan mental yang lain serta risiko penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi.

“Majikan perlu melihat lebih jauh dengan tidak mengabaikan perkara ini. Tanpa work-life balance, produktiviti pekerja boleh menurun walaupun bekerja lebih masa kerana mereka tidak gembira dan mengalami tekanan bahkan berisiko mendapat gangguan psikologi dan kesihatan,” katanya.

Menyifatkan pembudayaan work-life balance bukan menjadi keutamaan dalam kebanyakan sektor pekerjaan di Malaysia, beliau berkata budaya mengutamakan keselamatan juga amat kurang termasuklah di sektor pembinaan.

“Kerap dilihat elemen keselamatan bagi mengelakkan kemalangan tidak dijalankan dengan baik mengikut prosedur. Sikap ’tidak mengapa’ dan menganggap kemalangan tidak mungkin akan berlaku juga banyak dilihat dalam kalangan pekerja termasuk sektor pembinaan.

“Jika tidak dibendung, ia boleh mendedahkan kecelakaan dan berlakunya kemalangan di tempat kerja sehingga melibatkan kehilangan nyawa,” katanya menambah, terdapat pekerja yang mengalami kemurungan dan anxiety akibat tekanan selain terlibat kemalangan di tempat kerja sehingga mengalami trauma emosi.

Berpendapat baik majikan mahupun pekerja perlu mempunyai kesedaran yang tinggi, beliau mengambil contoh di sesetengah negara di Eropah yang bilangan hari bekerja dihadkan termasuklah di sektor pembinaan, sekali gus membudayakan work-life balance.

“Sektor pembinaan yang melibatkan kerja-kerja fizikal lebih terdedah kepada risiko kecederaan dan kemalangan jika emosi dan kesihatan mental pekerja tidak berada di tahap yang baik.

“Penguatkuasaan undang-undang perlu tegas sekiranya kita mahu menggalakkan konsep work-life balance. Perlu ada sistem red flag sebagai contoh jika ada kejadian nyaris kecelakaan atau kemalangan, pihak berwajib perlu ambil tindakan awal dan langkah pencegahan sebelum ia berisiko kepada pekerja yang lain ataupun menjadi lebih parah,” katanya.

 

PENGGUNAAN TEKNOLOGI BIM

Turut berkongsi pendapat, Ketua Pegawai Eksekutif CIDB E-Construct Services Sdn Bhd (CIDBEC) Ts Rofizlan Ahmad berkata, sektor pembinaan cukup sinonim dengan waktu kerja yang panjang sehingga ada pekerja khususnya di tapak pembinaan perlu bekerja lebih masa selain mematuhi peruntukan kewangan yang ditetapkan.

pic-5

Di samping turut berhadapan isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan apabila terdedah kepada pelbagai risiko dan bahaya di tempat kerja, isu kekurangan tenaga kerja turut menambah kepada beban kerja yang perlu di tanggung oleh pekerja sedia ada.

Mengakui pekerja di tapak pembinaan lazimnya dimonopoli oleh warga asing, namun perkara itu turut memberi kesan kepada kumpulan terlibat secara keseluruhan untuk menyiapkan sesebuah projek mengikut jadual yang ditetapkan, sekali gus menyebabkan keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi terjejas.

“Di Malaysia, cabaran ini semakin ketara kerana budaya kerja yang mementingkan komitmen tinggi dan keperluan untuk menyelesaikan projek dengan cepat. Dalam sektor pembinaan, kerja-kerja yang memerlukan kehadiran fizikal di tapak, tempoh kerja yang panjang serta keperluan untuk mematuhi tarikh akhir projek disiapkan adalah antara faktor yang menyumbang kepada situasi ini.

“Namun, ini adalah isyarat kepada industri kita untuk mengkaji semula pendekatan dalam pengurusan sumber manusia dan teknologi yang digunakan. Penggunaan teknologi seperti Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) memainkan peranan penting dalam mengurangkan tekanan ini dengan menyediakan perancangan yang lebih baik, mengurangkan keperluan untuk kerja-kerja yang berulang dan membantu dalam membuat keputusan yang lebih cepat dan tepat seterusnya mengurangkan beban kerja secara keseluruhan,” katanya. 

Menurut Rofizlan, teknologi BIM adalah satu revolusi dalam industri pembinaan kerana ia membolehkan pemain industri terlibat mensimulasikan keseluruhan proses pembinaan dalam persekitaran digital sebelum sebarang kerja fizikal dijalankan di tapak pembinaan.

Ini bermakna, segala risiko termasuklah yang melibatkan keselamatan pekerja dapat dikenal pasti lebih awal dan ditangani dengan berkesan.

“Contohnya, BIM membolehkan kita untuk merancang dan mengenal pasti potensi bahaya di tapak pembinaan melalui analisis dan simulasi yang dilakukan secara maya. Melalui kaedah ini, langkah-langkah pencegahan yang lebih efektif boleh dirancang sebelum kerja-kerja di tapak dimulakan.

“Selain itu, BIM juga membantu dalam pengurusan logistik dan jadual yang dapat mengurangkan tekanan dan risiko keletihan dalam kalangan pekerja.

“Ini bukan sahaja meningkatkan keselamatan pekerja, tetapi juga meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil kerja. Apabila risiko berkurangan dan keselamatan lebih terjamin, pekerja akan lebih selesa dan yakin menjalankan tugas mereka sekali gus menyumbang kepada kejayaan keseluruhan projek,” katanya.

 

DAPAT ‘LAMPU HIJAU’, TERUS DIPERLUAS

Berkongsi kesedaran berhubung penggunaan teknologi BIM di Malaysia semakin meningkat dengan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beliau berkata, walaupun Malaysia masih dalam fasa perkembangan berbanding negara maju seperti Singapura dan United Kingdom, namun banyak kemajuan yang dicapai.

pic-6

Penggunaan BIM semakin meluas dalam projek-projek berskala besar, terutamanya yang melibatkan infrastruktur awam dan bangunan komersial.

Pada 27 Ogos (Selasa), Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) menyepadukan teknologi BIM ke dalam 455 projek, yang merangkumi pelbagai peringkat perancangan, reka bentuk dan pembinaan antara 2021 dan 2024.

Nanta berkata, Pelan Strategik JKR 2021-2025 menyasarkan untuk melaksanakan BIM dalam 90 peratus projek bernilai melebihi RM10 juta.

Katanya, dengan mengguna pakai BIM dan metodologi lanjutan lain, industri tempatan boleh meningkatkan keupayaannya, meningkatkan hasil projek dan mengekalkan kelebihan daya saing dalam pasaran global.

Dalam laporan lain, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Jun lepas turut bersetuju agar penggunaan BIM diperluas kepada projek-projek kerajaan dan swasta.

Beliau menekankan mengenai beberapa perkara berkait kelewatan pelaksanaan projek dan perlu diatasi dengan berhemah melalui perubahan proses kerja serta penggunaan teknologi-teknologi baharu.

Rofizlan pada masa sama tidak menolak masih wujud cabaran dalam meningkatkan kadar penerapan BIM dalam kalangan kontraktor kecil dan sederhana yang mungkin mempunyai kekangan dari segi kos dan kepakaran teknikal.

Bagi menangani perkara itu, beliau berkata, CIDB melalui myBIM Centre mempergiatkan usaha dalam menyediakan latihan, kesedaran dan sokongan kepada semua pihak yang terlibat dalam sektor pembinaan.

“Masa depan BIM di Malaysia cerah dengan pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan untuk meningkatkan kadar penggunaan teknologi ini. Antaranya ialah pengembangan BIM e-Submission di seluruh negara yang akan memudahkan proses kelulusan bangunan melalui penggunaan data dan proses BIM.

“Menerusi sokongan daripada pihak kerajaan dan industri, kita optimis bahawa Malaysia akan mencapai tahap penggunaan BIM yang setanding dengan negara maju dalam masa terdekat dan seterusnya akan merancakkan lagi industri pembinaan negara,” katanya. 

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan