BELANJAWAN 2024 > BERITA

Saya Anak Malaysia, Tidak Pernah Terlepas Saksikan Sambutan Hari Kebangsaan Sejak 1957

31/08/2024 10:50 AM

Oleh Mohd Ashraf Syafiq Mazlan & Samantha Tan Chiew Tieng

PUTRAJAYA, 31 Ogos (Bernama) -- ‘Saya anak Malaysia’, itu kata-kata Janny Lee, 69, yang tidak pernah terlepas meraikan sambutan Hari Kebangsaan sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957.  

Warga emas dari Ampang, Selangor itu mengakui beliau sentiasa meraikan sambutan Hari Kebangsaan bagi menzahirkan semangat patriotisme dan cintakan negara. 

Beliau yang berkata setiap kali sambutan beliau akan membuat ‘papan tanda’ tema Hari Kebangsaan pada tahun tersebut, dihiasi dengan Jalur Gemilang.

“Tiap tahun papan tanda saya adalah berlainan. Saya hias papan tanda ini sejak tiga bulan lepas dan setakat ini saya ini tidak pernah terlepas sambutan.

“Kalau demam pun, saya sediakan panadol dan datang untuk meraikan Hari Kebangsaan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada sambutan Hari Kebangsaan 2024 di sini hari ini.

Lee berkata beliau tiba di Dataran Putrajaya sejak 1 tengah hari semalam bagi menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2024 bertemakan Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka.

“Saya datang ke Putrajaya guna teksi, saya guna duit sumbangan tunai rahmah (STR) untuk datang dan tunjukkan semangat patriotisme saya,” katanya. 

Sementara itu Zamarul Azuan Abdul Rahim, 46, bersama isteri dan dua anaknya tiba di Putrajaya sejak 2 petang semalam dari Seremban, Negeri Sembilan untuk menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2024. 

“Ini kali pertama saya bawa keluarga untuk lihat sambutan Hari Kebangsaan, sangat teruja untuk nak lihat perbarisan,” katanya.

Warga China Lua Moa Qin, 25, pula ketika ditemui di sini berkata sambutan Hari Kebangsaan memang dinantikannya kerana ia unik dan penuh dengan tradisi.

“Ini kali kedua saya datang untuk saksikan perarakan besar begini, ia persembahan yang sangat unik,” kata pelajar program pertukaran di sebuah universiti tempatan itu.

Kemuncak sambutan Hari Kebangsaan 2024 dengan tema 'Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka' hari ini menyajikan perbarisan dan perarakan melibatkan lebih 17,000 peserta, 59 kontinjen, 24 pasukan pancaragam serta 439 aset ketenteraan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan