BELANJAWAN 2024 > BERITA

Merdeka Gig In The Sky Bakal Jadi Acara Tahunan Di Menara Kuala Lumpur

31/08/2024 02:06 PM

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- ‘Merdeka Gig in The Sky’ anjuran Menara Kuala Lumpur yang julung kali diadakan sempena Sambutan Ambang Merdeka 2024 semalam akan dijadikan acara tahunan selepas mendapat penerimaan yang amat baik daripada rakyat tempatan dan luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Nazli Saad berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Komunikasi dalam menjayakan program berkenaan pada sambutan ambang merdeka akan datang.

“Kami percaya bahawa acara ini mampu menjadi salah satu tarikan utama bagi sambutan ambang merdeka di Kuala Lumpur dan secara tidak langsung ia dapat mempromosikan Menara Kuala Lumpur sebagai ikon kebanggaan negara.

“Sambutan pada malam ini (semalam) berbeza dan unik kerana kami merupakan satu-satunya menara di Kuala Lumpur yang menawarkan pakej seperti ini pada ketinggian 300 meter dari aras tanah sambil melihat panorama bandaraya Kuala Lumpur pada waktu malam sambil melihat kemeriahan sambutan (ambang) Hari Kebangsaan 2024,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata program itu merupakan salah satu pengisian dalam Kempen ‘Merdeka Madness’ yang berlangsung sejak 1 Ogos lepas hingga 16 Sept ini bersempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Nazli berkata sepanjang kempen itu, pelbagai aktiviti menarik diadakan antaranya Kibaran Jalur Gemilang Gergasi berukuran 57 kaki (lebar) dan 114 kaki (panjang) di antena Menara Kuala Lumpur yang berketinggian 383 meter dan pencahayaan menara ‘Colours of Malaysia Tower Lighting’ dengan warna bendera 14 negeri di Malaysia.

“Selain itu, kami turut mengadakan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan melibatkan 35 peserta yang akan bertanding untuk mendeklamasikan puisi bertemakan kemerdekaan,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung Siti Ruqaiyah Hashim, 36, berkata dia bersama rakannya amat teruja merasai sendiri sambutan ambang merdeka dari paras yang tinggi.

“Sebelum ini saya menyambut ambang merdeka di Dataran Merdeka dan hanya dari jauh. Tapi kali ini saya dan kawan ambil keputusan untuk melihat dari atas. Apa yang saya boleh cakap dekat sini memang ada keeksklusifan, suasana pun sangat berbeza dengan tempat lain,” katanya.

Seorang juruvideo Lee Qin Le, 34, berkata dia bersama 20 rakannya mengambil keputusan untuk mendapatkan gambar dan video dari sudut yang tinggi bagi melihat kemeriahan sambutan ambang merdeka tahun ini, berbeza dengan kebiasaannya di Dataran Merdeka dan Pusat Bandaraya Kuala Lumpur (KLCC).

"Suasana di sini dari segi orang ramai tidak begitu padat, jadi ia adalah perkara yang baik. Kami berasa sangat seronok apabila kami mendapat perspektif dan pengalaman yang berbeza. Kami mencuba pelbagai sudut baharu dan berkemungkinan besar akan ke sini lagi tahun depan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan