BELANJAWAN 2024 > BERITA

Duta Besar Malaysia Ke Indonesia Seru Sokongan Untuk Perkukuh Hubungan Dua Hala, Kerjasama ASEAN

31/08/2024 04:53 PM

JAKARTA, 31 Ogos (Bernama) -- Duta Besar Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin menyeru seluruh staf di kedutaan, ekspatriat Malaysia dan pelajar agar terus memberi sokongan, secara individu mahupun atas nama organisasi, dalam melaksanakan tanggungjawab dan menaikkan imej negara dalam hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia mahupun di peringkat ASEAN.

Beliau berkata pihak kedutaan terus komited memperkukuh hubungan dua hala demi manfaat bersama dan percaya kerjasama serta persahabatan antara kedua-dua negara akan berkembang di bawah pemerintahan Presiden baharu Prabowo Subianto, yang akan dilantik pada 20 Oktober.

"Perdagangan dua hala pada 2023 berjaya mencapai US$24 billion (US$1=RM4.31) di mana Indonesia merupakan rakan dagang kita yang ketujuh terbesar di peringkat dunia dan ketiga terbesar di peringkat ASEAN," katanya di kompleks kedutaan di sini pada Sabtu.

Berucap di sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-67, Syed Md Hasrin berkata Malaysia juga kekal sebagai pelabur asing kelima terbesar tahun lepas dengan nilai US$4.1 bilion, berbanding US$3.3 bilion pada 2022.

Di sektor pelancongan, seramai 3.1 juta rakyat Indonesia berkunjung ke Malaysia, manakala 1.9 juta rakyat Malaysia melancong ke Indonesia.

Di sektor pendidikan, sekitar 10,000 pelajar Indonesia sedang belajar di Malaysia dan kira-kira 1,200 lebih pelajar Malaysia sedang belajar di Indonesia.

Menyentuh tema Hari Kebangsaan, beliau menjelaskan 'Malaysia Madani: Jiwa Merdeka' dipilih untuk mengingatkan pentingnya negara kekal bebas dan merdeka bagi menentukan arah tujunya yang aman, makmur, harmoni dan sejahtera, baik sesama rakyat mahupun dengan alam sekitar.

Syed Md Hasrin berkata ini juga selaras dengan peranan Pengerusi ASEAN pada 2025 di mana Malaysia akan meneruskan aspirasi pembentukan Komuniti ASEAN dan pelancaran dokumen penting iaitu 'ASEAN Community Vision 2045' sebagai panduan hala tuju pembentukan komuniti serantau 20 tahun ke depan.

Bercakap kepada media, Syed Md Hasrin berkata beliau menerima respons positif mengenai sokongan daripada pemerintah mahupun bukan pemerintah di Indonesia terhadap peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 di sesi-sesi pertemuan.

"Ini sangat penting kerana Malaysia dan Indonesia merupakan antara negara tonggak dalam konteks kerjasama ASEAN," katanya.

Laos akan menyerahkan kepimpinan ASEAN untuk 2025 pada Sidang Kemuncak ASEAN dari 8 hingga 11 Oktober.

ASEAN yang ditubuhkan pada 8 Ogos 1967, kini dianggotai 10 negara - Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Thailand, Singapura dan Vietnam. Timor-Leste masih menunggu untuk menjadi anggota penuh kumpulan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan