BELANJAWAN 2024 > BERITA

Jualan 'Happy Hour' Set Kombo MADANI Merdeka Tawar Harga Serendah RM6.70

31/08/2024 04:16 PM

KANGAR, 31 Ogos (Bernama) -- Jualan ‘happy hour’ set kombo MADANI Merdeka pada Jualan Khas Semarak Kemerdekaan Ke-67 anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis yang berlangsung di Pasar Tani Dataran ABC Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sini hari ini menawarkan harga serendah RM6.70.

Pengarah FAMA Perlis Mohd Anzara Azizan berkata set kombo itu mengandungi empat barangan asas iaitu gula putih satu kilogram (kg), minyak masak peket (satu kg), bihun 400 gram serta bawang seberat 400 gram seperti bawang merah, bawang putih dan bawang besar yang disediakan secara rawak dalam set itu yang mencecah RM12 jika dijual pada harga biasa.

“Pagi ini kita adakan jualan istimewa sempena Hari Kemerdekaan ke-67, sebab itu set kombo MADANI ini berharga RM6.70,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian jualan khas itu yang disempurnakan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK) Affendi Rajini Kanth.

Mohd Anzara berkata pembelian set kombo MADANI Merdeka pada jualan khas yang berlangsung dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari itu tidak terhad.

Sementara itu, Mohd Anzara berkata Jualan Agro MADANI di Perlis merekodkan nilai jualan sebanyak RM2,515,841 dengan 190 kali penganjuran jualan itu setakat hari ini.

“Alhamdulillah, penganjuran Jualan Agro MADANI setakat hari ini melibatkan penyertaan sebanyak 1,559 usahawan dan memberi manfaat kepada 60,610 pengguna di Perlis yang membabitkan nilai penjimatan sebanyak RM678,967.34,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pengunjung Jualan Khas Semarak Kemerdekaan itu Hanani Ismail, 35, berkata beliau begitu teruja dengan tawaran harga RM6.70 bagi set kombo MADANI Merdeka itu dan menganggap ia menggembirakan pengguna pada sambutan Hari Kebangsaan hari ini.

"Alhamdulillah saya boleh dapat gula, minyak, bihun, dan bawang dengan harga RM6.70, kalau di kedai biasa mungkin mencecah lebih RM10, saya memang sentiasa menantikan jualan murah dianjurkan FAMA Perlis,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan