BELANJAWAN 2024 > BERITA

Negara-negara Asia Selatan Ucap Tahniah Kepada Malaysia Sempena Hari Kebangsaan

31/08/2024 08:52 PM

NEW DELHI, 31 Ogos (Bernama) -- Negara-negara Asia Selatan pada Sabtu mengucapkan tahniah kepada Malaysia sempena Hari Kebangsaan.

Presiden Maldives Mohamed Muizzu menyampaikan ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim  dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan itu.

Muizzu berkata dalam surat berasingan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri bahawa kerjasama antara Maldives dan Malaysia adalah berasaskan rasa hormat, prinsip bersama, dan hubungan erat antara rakyat kedua-dua negara.

Presiden itu "menyatakan keyakinan bahawa kerjasama yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara akan terus kukuh demi manfaat kedua-dua negara," menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya.

Menteri Luar Maldives Moosa Zameer turut mengucapkan tahniah kepada rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, dan berkata beliau menantikan untuk "mempereratkan lagi hubungan rapat dan mesra antara kedua-dua negara."

Sri Lanka dan Pakistan juga mengucapkan tahniah kepada Malaysia.

"Sempena Hari Kebangsaan Malaysia, kami mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada rakyat dan Kerajaan Malaysia," kata Kementerian Luar Pakistan dalam satu hantaran di media sosial.

Dalam mesej dari rantau lain, Turkiye dan Iran turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan.

"Republik Islam Iran mengucapkan tahniah yang tulus ikhlas kepada saudara kami yang mesra, Kerajaan Malaysia sempena Hari Kemerdekaan mereka. Memperkukuhkan hubungan menyeluruh adalah agenda bersama kedua-dua negara," kata Kementerian Luar Iran.

"Tahniah kepada saudara kami yang mesra, Malaysia sempena Hari Kebangsaan!" kata Kementerian Luar Turkiye.

Sementara itu, Menteri Luar India Subrahmanyam Jaishankar dalam mesejnya kepada rakan sejawatannya di Malaysia sempena Hari Kebangsaan ke-67 berkata: "Saya menantikan untuk memperkukuhkan lagi Perkongsian Strategik Komprehensif kita."

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan