BELANJAWAN 2024 > BERITA

Program Bermalam Di Muzium Perdana 2024 Cipta Rekod Dalam MBOR

31/08/2024 08:41 PM

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- Program Bermalam di Muzium Perdana 2024 anjuran Jabatan Muzium Negara berjaya mencipta rekod dalam Malaysia Book of Record (MBOR) melalui penglibatan peserta melukis poster patriotik paling ramai.

Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan memaklumkan rekod yang dicipta ialah Largest Participation in Patriotic Themed Poster Making dengan pengiktirafan diberikan oleh MBOR pada majlis menandatangani Sijil MBOR hari ini.

“Tema yang menjadi pilihan pelajar menggambarkan unsur-unsur patriotik seperti wira-wira bangsa, bangunan bersejarah dan peristiwa sejarah,” menurut kenyataan itu.

Bermalam di Muzium Perdana adalah antara aktiviti utama dalam Program Citra Nusa@Muzium iaitu program permuziuman berteraskan warisan seni budaya yang menyasarkan penyertaan seluruh masyarakat pelbagai latar belakang budaya dan kaum.

Program itu bertujuan menyuburkan semula minat generasi muda terhadap warisan bersifat ketara serta tidak ketara menerusi pendekatan meremajakan muzium melalui seni dan teknologi.

Seramai 2,222 pelajar sekolah menengah berusia lingkungan 13 hingga 17 tahun menyertai program itu di 33 muzium di seluruh negara yang terdiri daripada 18 Muzium Persekutuan di bawah seliaan Jabatan Muzium Malaysia, sembilan Muzium Negeri dan enam Muzium Institusi.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Penutupan Program Bermalam di Muzium Perdana 2024 meminta anak muda agar meningkatkan patriotisme serta memupuk semangat perpaduan dalam diri untuk memastikan kemerdekaan tanah air terus kekal dan dipertahan.

Pada program itu, turut dilancar MAG in Your Pocket yang merupakan strategi digital Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia sebagai pembelajaran mudah alih tanpa batas.

Aplikasi itu menawarkan bahan pembelajaran yang boleh diakses oleh sesiapa sahaja tanpa mengira di mana mereka berada dalam usaha memperluas akses dan inklusiviti kepada pendidikan kewangan.

Majlis itu turut dihadiri oleh Timbalan Gabenor Bank Negara Datuk Marzunisham Omar, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Azman Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia Datuk Kamarul Baharin A. Kasim.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan