BELANJAWAN 2024 > BERITA

Presiden Biden Ucap Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Kepada Malaysia

31/08/2024 09:49 PM

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mengucapkan selamat menyambut hari Kebangsaan ke-67 kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan rakyat Malaysia. 

Dalam kenyataannya, Biden menyampaikan ucapan selamat itu bagi pihak AS dan berkata, saya ”menyampaikan ucapan selamat kepada Yang di-Pertuan Agong dan rakyat Malaysia yang menyambut Hari Kebangsaan."   

Beliau berkata Malaysia dan AS telah menikmati hubungan persahabatan dan kerjasama selama hampir tujuh dekad yang ditunjangi pandangan bersama untuk sebuah masa hadapan yang selamat, makmur dan berdaya tahan.

"Bersama-sama, kita mengukuhkan hubungan ekonomi, sesama rakyat dan keselamatan kita yang kuat,” katanya. 

Biden juga mengetengahkan usaha bersama dalam memperkasakan usahawan, terutamanya wanita menerusi pelbagai program dengan berkongsi pengetahuan, kemahiran dan rangkaian  bagi membolehkan mereka melancarkan dan mencapai kejayaan perniagaan di peringkat global. 

Presiden AS itu selanjutnya menzahirkan keyakinan dalam perkembangan berterusan hubungan dua hala menerusi perkongsian komitmen untuk mempromosikan Indo-Pasifik sebagai sebuah rantau yang bebas, terbuka, makmur dan selamat.  

Biden juga mengucapkan selamat untuk sambutan Hari Kebangsaan yang  penuh dengan keriangan dan keamanan pada penutup kenyataannya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan