BELANJAWAN 2024 > BERITA

Gaza Mulakan Usaha Pemvaksinan Polio Untuk Kanak-kanak Bawah 10 Tahun

31/08/2024 10:55 PM

BANDARAYA GAZA, 31 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Kementerian Kesihatan Gaza melancarkan satu kempen pemvaksinan polio di selatan Semenanjung Gaza, yang secara spesifik menyasarkan kanak-kanak berumur bawah 10 tahun. 

Menurut Agensi Anadolu (AA) , kempen itu yang bermula pada Sabtu di Khan Younis untuk memberikan vaksin kepada lebih 90 peratus kanak-kanak di seluruh Wilayah Gaza menjelang 12 Sept ini.

Usaha pemvaksinan ini yang dilaksanakan dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF)  dan Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) dimulakan di Hospital  Nasser susulan satu sidang media bersama oleh organisasi berkenaan. 

Majdi Duhair, Ketua Jawatankuasa Teknikal yang menyelia usaha pemvaksinan itu berkata kempen itu akan menumpukan tengah Gaza dari 1 hingga 4 Sept, diikuti Khan Younis dari 5 hingga 9 Sept dan akan berakhir di sini dan wilayah utara dari 9 hingga 12 Sept.  

Kempen ini dilaksanakan di tengah-tengah krisis kemanusiaan yang serius di Gaza dengan konflik dan sekatan yang berterusan mengakibatkan kekurangan makanan, air bersih dan bekalan ubat-ubatan yang akut. 

Keadaan yang semakin buruk telah menimbulkan kebimbangan tentang potensi wabak penyakit, termasuk polio.

Desakan terhadap kempen ini ditekankan berikutan pengesahan kes polio pertama di Gaza yang merupakan seorang kanak-kanak berusia 10 bulan, bulan lepas.

Pada 16 Ogos, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menggesa supaya satu gencatan senjata tujuh hari dilaksanakan bagi membenarkan pemvaksinan  640,000 kanak-kanak, satu permintaan yang disokong UNRWA.

Kempen pemvaksinan polio ini berjalan di sebalik serangan berterusan tentera Israel di Gaza yang telah mengorbankan lebih 40,600 warga Palestin dan mencederakan lebih daripada  93,800 orang sejak 7 Okt.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan