BELANJAWAN 2024 > BERITA

Bernama Perkasa Kandungan ASEAN, Persiapan Kepengerusian Malaysia 2025

01/09/2024 02:16 AM

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) giat memperkasakan kandungan berkaitan ASEAN melalui semua platform naungannya sebagai persiapan untuk Malaysia menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN 2025, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Nur-ul Afida Kamaludin.

Memandangkan Malaysia bakal menjadi tumpuan negara-negara ASEAN termasuk rakan dialog dan ASEAN Campur Tiga, beliau berkata pelbagai program khas seperti ruang bicara mengenai ASEAN turut diperkenalkan di saluran Bernama TV dan Bernama Radio, dengan segmen mingguan yang memfokuskan isu-isu berkaitan ASEAN.

“Dalam rangka persiapan ini, Bernama turut melancarkan laman mikro khas bermula 1 September yang akan menyediakan kandungan lengkap merangkumi berita, foto, video dan infografik yang berkaitan dengan ASEAN. 

Laman mikro ini akan memudahkan pengunjung portal Bernama, dalam dan luar negara yang ingin mencari berita-berita ASEAN secara eksklusif,” katanya dalam satu temu bual bersempena pelancaran laman mikro ASEAN itu.

Bernama juga akan terus meningkatkan liputan berita mengenai ASEAN melalui pewarta di tiga negara ASEAN iaitu Indonesia, Singapura dan Thailand, katanya.

Nur-ul Afida menyifatkan peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 adalah peluang keemasan untuk negara mempamerkan kepimpinan dan komitmen negara di pentas serantau.

Menyedari tanggungjawab besar itu, beliau berkata Bernama selaku agensi berita nasional akan menyokong usaha kerajaan dalam mengukuhkan kerjasama dan peningkatan kesalinghubungan serta daya tahan serantau.

“Bernama melihat kepengerusian ASEAN sebagai platform untuk kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan keupayaan negara dalam aspek kepimpinan ekonomi, politik serta peranan Malaysia dalam memajukan pendidikan dan budaya serantau. 

“Sekali gus ini juga peluang bagi Malaysia untuk memperkukuh pengaruh dan kedudukannya dalam kalangan 10 negara anggota blok yang terus mahukan keamanan, kemasyarakatan dan kemakmuran,” katanya yang berpengalaman melawat negara anggota ASEAN seperti Indonesia, Thailand dan Filipina.

ASEAN terdiri daripada 10 negara anggota iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam.

Laos akan menyerahkan baton Kepengerusian ASEAN 2025 kepada Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober  ini .

Mengulas penyertaan Timor Leste sebagai anggota baharu ASEAN kelak, Nur-ul Afida berkata : "Sebagai negara yang lebih maju, Malaysia berperanan sebagai “abang” yang berupaya membimbing Timor Leste, terutamanya dalam aspek pendidikan, kebudayaan dan ekonomi.

“Dalam konteks kerjasama dengan Timor Leste, Bernama turut berharap dapat memainkan peranan aktif dalam membantu negara itu mencapai matlamat mereka dalam ASEAN melalui pertukaran berita dan maklumat.”

Sejak 2022, media melaporkan Timor Leste boleh menghadiri siri mesyuarat peringkat ASEAN sebagai pemerhati sehingga keputusan rasmi dibuat secara konsensus untuk menerima negara itu menganggotai ASEAN.

Menyentuh soal kerjasama pertukaran berita dengan agensi berita luar negara, beliau berkata Bernama bercadang memperbaharui beberapa memorandum persefahaman (MoU) dengan agensi berita dari negara-negara ASEAN dan beberapa negara lain termasuk China, Jepun dan Korea Selatan. 

“Ini langkah penting dalam memperluaskan jangkauan berita Bernama di peringkat serantau dan global,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan