BELANJAWAN 2024 > BERITA

Bernama Lancar Laman Mikro ASEAN Menjelang Kepengerusian Malaysia 2025

01/09/2024 12:35 AM

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menyediakan laman mikro khas yang memaparkan berita-berita berkaitan ASEAN mulai 1 Sept.

Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj berkata laman khas itu diwujudkan sempena kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025.

"Microsite asean.bernama.com akan menyediakan pautan berita berkaitan ASEAN yang dihasilkan oleh wartawan Bernama termasuk pewarta kita di Bangkok, Thailand, Jakarta, Indonesia dan Singapura.

"Malah laman ini juga akan turut menyiarkan berita-berita ASEAN yang sesuai yang diterbitkan oleh rakan-rakan media kita seperti Agensi Berita Vietnam (VNA), agensi berita ANTARA,” katanya dalam temu bual bersempena pelancaran laman mikro ASEAN itu.

Selain pautan berita, laman mikro khas itu juga menyediakan foto, video dan infografik mengenai ASEAN.

"Selain sebagai platform khas buat ASEAN dengan pautan berita yang sesuai, menerusi laman mikro ini kita juga berhasrat untuk mengantarabangsakan portal Bernama.com itu sendiri.

"Kita juga mahu kesedaran rakyat Malaysia amnya dan penduduk negara anggota ASEAN meningkat menerusi laman mikro ini," katanya.

Arul Rajoo berkata Bernama TV dan Bernama Radio juga menyediakan program berkaitan ASEAN yang turut dimasukkan ke dalam laman mikro berkenaan antaranya Atlas ASEAN dan Hello ASEAN terbitan Bernama Radio dan The Nation ASEAN+, ASEAN Petang Ini, #ceritaASEAN di Apa Khabar Malaysia dan Darah Muda Kembara ASEAN terbitan Bernama TV.

Beliau berkata Bernama juga akan bekerjasama dengan Wisma Putra iaitu Kementerian Luar Malaysia untuk menghasilkan kandungan yang sesuai dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN itu nanti.

"Kita akan bekerjasama dengan Wisma Putra untuk dapatkan kandungan yang sesuai termasuk program-program yang dibuat oleh kedutaan di luar negara untuk dimuat naik di laman mikro itu.

Paling penting selain membantu negara sebagai Pengerusi ASEAN, laman mikro ini juga diharap dapat menarik serta meningkatkan jumlah ‘view’ laman sesawang Bernama itu sendiri," katanya.

Sementara itu Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama Ravichandran D.J Paul berkata laman mikro itu dalam Bahasa Ingggeris dan Malaysia akan menjadi sebagai hab untuk berita yang tepat masa dan relevan, memaparkan perkembangan terkini merentas rantau ASEAN.

Beliau berkata Bernama komited untuk meningkatkan kandungan mengenai  ASEAN menerusi sumbangan daripada korespondennya dan rakan sejawat daripada ASEAN.

“Sebagai persiapan Malaysia untuk menggalas jawatan Pengerusi ASEAN 2025, laman mikro ini akan menawarkan liputan komprehensif aktiviti yang dirancang sepanjang tahun,” katanya. 

“Kami menyasarkan untuk menyampaikan naratif menambat perhatian yang mengetengahkan perpaduan utuh dalam kumpulan serantau  dan hubungan sesama rakyat, memastikan penonton kami sentiasa mempunyai maklumat dan melibatkan diri dengan berita yang paling penting.

Terus bersama untuk liputan yang berwawasan dan pemberitaan mendalam sambil kami terus berhubung dengan penonton dengan perkembangan di seluruh dunia dan rantau ini menerusi berita, “ katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan