BELANJAWAN 2024 > BERITA

Muhammad Fareez Juarai Kumpulan B, Tak Percaya Ke Separuh Akhir

01/09/2024 12:43 AM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

PARIS, 31 Ogos (Bernama) -- Pemain badminton para negara, Muhammad Fareez Anuar mengekalkan rekod tanpa kalah di Sukan Paralimpik Paris 2024 selepas menundukkan Taiyo Imai dari Jepun dalam aksi terakhir Kumpulan B di Porte de La Chapelle Arena di sini, hari ini.

Muhammad Fareez bagaimanapun terpaksa berhempas pulas untuk bangkit daripada ketinggalan pada set pertama, 17-21, sebelum berjaya mencari semula momentum yang hilang dan mengecewakan Imai, 21-17, 21-17 dalam masa 72 minit, sekali gus melangkah ke separuh akhir sebagai juara kumpulan.

Pemain berusia 28 tahun yang membuat penampilan sulung di Sukan Paralimpik itu mengakui permainannya agak perlahan pada set pertama kerana kerap memikirkan untuk memenangi perlawanan dan mengungguli kumpulan.

“Fikiran saya terganggu pada set pertama terlalu fikirkan nak menang kumpulan dan set kedua jurulatih (Nova Armada) beritahu cepatkan permainan dan saya all out dalam set seterusnya,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan di zon campuran.

Atlet dari Johor itu yang mengalami kecacatan siku kanan akibat kemalangan motosikal pada usia 15 tahun bagaikan tidak percaya mampu mara ke separuh akhir, selepas diundi dalam kumpulan maut bersama pemain nombor dua dunia, Fang Jen-Yu dari Taiwan dan pemain ketiga terbaik dunia, Dheva Anrimusthi dari Indonesia.

“Pencapaian ke separuh akhir sudah cukup baik buat saya. Saya turun di sini sebagai bukan pilihan sahaja namun Alhamdulillah semua perlawanan saya dapat atasi dengan sebaiknya,” katanya.

Khamis lepas, pemain nombor empat dunia itu mencipta kejutan menewaskan pilihan kedua Jen-Yu 21-14, 21-18 diikuti kemenangan ke atas Anrimusthi yang juga juara Sukan Para Asia Hangzhou 2022, 14-21, 21-19, 21-19, semalam.

Dalam pada itu, Anrimusthi mengikut jejak langkah Muhammad Fareez ke separuh akhir dengan mengatasi Jen-Yu, 21-14, 21-18, untuk muncul naib juara Kumpulan B.

Sementara itu, cabaran Muhammad Ikhwan Ramli yang beraksi dalam acara perseorangan lelaki WH1 (kecacatan fizikal) berakhir apabila gagal melepasi Kumpulan B untuk mara ke suku akhir selepas tewas mudah 7-21, 4-21 kepada Qu Zi Mo dari China dalam masa 21 minit.

Noor Azwan Noorlan, yang bersaing dalam acara perseorangan lelaki WH2 (kecacatan fizikal) juga mengharungi kempen sulung yang mengecewakan apabila tewas kepada Ho Yuen Chan dari Hong Kong, 11-21, 11-21, selepas dikalahkan wakil Chile, Jamie Aranguiz, 15-21, 13-21 semalam bagi aksi Kumpulan D.

Terdahulu, Muhammad Ikhwan yang bergandingan bersama Noor Azwan dalam acara beregu lelaki WH1-2 (kecacatan fizikal) melakar kemenangan sulung mereka di sini ke atas Rick Cornell Hellman-Thomas Wandschneider dari Jerman 21-19, 21-17, pada aksi Kumpulan B.

Bagaimanapun, mereka tersingkir awal selepas tumpas kepada pasangan Jepun Daiki Kajiwara-Hiroshi Murayama 21-17, 13-21, 16-21 dan beregu China Qu Zi Mo-Mai Jianpeng 16-21, 6-21.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan