BELANJAWAN 2024 > BERITA

Pencemaran Bau Di Kampung Orang Asli: Lima Individu Dihadapkan Ke Mahkamah

26/09/2024 11:59 AM

JOHOR BAHRU, 26 Sept (Bernama) -- Lima individu yang ditahan disyaki terlibat dengan kes pembuangan sisa kilang di lombong Kampung Orang Asli Pasir Intan, Kota Tinggi sehingga menyebabkan pencemaran, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini.

Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata tiga lelaki berumur antara 23 hingga 52 tahun akan dituduh di bawah Seksyen 124K Kanun Keseksaan kerana melakukan sabotaj yang boleh dihukum penjara maksimum 40 tahun jika sabit kesalahan.

Beliau berkata dua lagi tangkapan iaitu pengarah dan pemegang saham sebuah kilang di Seri Alam masing-masing berumur 41 dan 53 tahun akan didakwa mengikut Seksyen 124K Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama kerana bersubahat melakukan sabotaj.

"Empat lagi lelaki tempatan yang ditangkap akan dibebaskan dengan bon jaminan di bawah peruntukan Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah sebagai saksi pendakwaan," katanya dalam kenyataan.

Kumar berkata polis kontinjen Johor telah selesai menjalankan siasatan itu dan kertas siasatan telah dirujuk ke pejabat Peguam Negara pada Selasa lepas.

"Kesalahan di bawah Seksyen 124K Kanun Keseksaan merupakan satu kesalahan terhadap negara sebagaimana Bahagian VI Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melakukan pencemaran yang boleh mengganggu kelestarian alam sekitar.

Pada 5 Sept lepas, sebanyak 38 penduduk dari kampung terbabit berpindah ke Balai Raya Orang Asli Kampung Sayong Pinang ekoran pencemaran bahan kimia yang berlaku di kampung berkenaan.

Pemindahan itu membabitkan 10 keluarga selepas penduduk dilaporkan mengalami sakit tekak, loya, pening kepala, pedih mata, muntah, sesak nafas dan demam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan