BELANJAWAN 2024 > BERITA

Fadillah Mahu Diaspora Malaysia Di Laos Teroka Sektor Tenaga Boleh Baharu

26/09/2024 10:31 PM

Daripada Norsyafawati Ab Wahab

VIENTIANE, 26 Sept (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mahu diaspora Malaysia di Laos meneroka peluang dalam sektor tenaga boleh baharu (TBB) bagi memenuhi permintaan serantau.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata setiap negara anggota ASEAN kini sedang menumpukan usaha untuk meningkatkan penghasilan TBB dan tenaga bersih.

“Di Malaysia sahaja permintaan untuk tenaga adalah kira-kira 8,000 megawatt kerana pusat-pusat data berminat datang ke Malaysia seperti NVIDIA, Microsoft dan Google,” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama diaspora Malaysia di Laos, di sini malam ini.

Hampir 200 diaspora Malaysia berada di negara ini terlibat dengan pelbagai sektor perniagaan antaranya pertanian, pendidikan, galian dan TBB.

Beliau berkata pelaburan syarikat utama itu melibatkan nilai yang besar dan Malaysia memerlukan sumber TBB dan juga air yang dapat dibekalkan untuk peserta industri tersebut.

Fadillah berkata perkara itu bukan hanya merupakan peluang untuk Malaysia malah juga untuk negara ASEAN lain.

“Di Laos ini sebenarnya ada banyak  potensi dari segi membekalkan sumber tenaga boleh baharu dan tenaga bersih,” katanya.

Justeru, Fadillah berkata Malaysia sebagai tuan rumah ASEAN pada tahun hadapan akan menumpukan antaranya pembangunan sektor tenaga selain berharap agenda Grid Tenaga ASEAN (APG) dapat dimuktamadkan pada 2025.

Beliau berkata APG akan membolehkan transaksi pembekalan tenaga merentas sempadan dan perkara itu pasti memberi peluang perniagaan kepada pemain industri.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan