BELANJAWAN 2024 > BERITA

Kementerian Pengangkutan Akan Tubuh Majlis Pelayaran

26/09/2024 10:37 PM

LABUAN, 26 Sept (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan bersedia menubuhkan Majlis Pelayaran bagi memajukan industri itu di Malaysia dan langkah tersebut dijangka mampu meningkatkan sektor pelancongan negara dengan ketara.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata majlis itu berperanan merangsang pertumbuhan dalam sektor pelayaran terutama susulan perkembangan industri kapal persiaran baru-baru ini di Semenanjung Malaysia termasuk di destinasi popular seperti Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

"Penubuhan sebuah majlis untuk menyelia sektor pelayaran adalah tepat pada masanya susulan pertumbuhan pesat dalam sektor ini. 

“Kami juga menjangkakan Labuan menjadi destinasi utama pelayaran memandangkan kedudukannya yang strategik," katanya pada sidang akhbar selepas lawatan kerja ke Jabatan Pengangkutan Jalan di sini hari ini.

Beliau berkata sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, beberapa pelabuhan akan dinaik taraf bagi menampung kapal persiaran dan keperluan pelancong. 

Hasbi juga berkata Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA), yang beroperasi di bawah Lembaga Pelabuhan Bintulu (BPA), akan menjadi entiti kendiri di bawah Kementerian Pengangkutan tidak lama lagi.   

Beliau berkata pengumuman rasmi akan dibuat sebaik sahaja semua perkara berkaitan penyerahan BPA kepada Kerajaan Negeri Sarawak dimuktamad.

"Peralihan Lembaga Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Negeri Sarawak telah diluluskan oleh Parlimen.

"Selepas semua urusan dalaman diselesaikan, Lembaga Pelabuhan Labuan akan diwartakan sebagai pihak berkuasa tunggal," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan