BELANJAWAN 2024 > BERITA

Muhammad Elmi Tagih Kayuhan Magis Bersama Abdul Azim

27/09/2024 03:46 PM

LANGKAWI, 27 Sept (Bernama) -- Pelumba berpengalaman skuad berbasikal lebuh raya kebangsaan Muhammad Elmi Jumaari percaya gandingan bersama pelumba pecut (sprinter) Abdul Azim Aliyas mampu memacu kejayaan pasukan itu pada saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 bermula Ahad ini.

Beliau yang turut menjalankan tugas selaku sprinter pasukan berkata kedua-dua mereka telah berjaya membentuk keserasian biarpun dalam tempoh singkat menerusi pembabitan di beberapa kejohanan antarabangsa tahun ini.

“Buat masa ini semasa latihan dia (Abdul Azim) selalu menjadi pacer terakhir saya untuk ke hadapan. Dua minggu sebelum ini di Tour of Poyang Lake di China juga kami dah serasi bersama. 

“Dia pun hari demi hari membawa saya ke hadapan. Walaupun masih muda dia berani cuba bawa saya mendapat kedudukan terbaik,” katanya ketika ditemui di sini.

Muhammad Elmi berkata penampilan kali pertama Abdul Azim, 22, di pentas LTdL diharap dapat memberikan pengalaman bermakna buat pelumba muda itu yang mendominasi Jelajah Negeri Sembilan 2023.

Selain itu, pelumba berusia 34 tahun tersebut mengakui memikul tugas berat sebagai kapten skuad kebangsaan kali ini.

Menurut Muhammad Elmi, kepercayaan diberikan ketua jurulatih Mohd Yusof Nasir itu memberikan makna yang besar buatnya dalam usaha membimbing rakan-rakan sepasukan agar memperoleh keputusan lebih baik berbanding edisi lepas.

"Saya bukan hanya ada misi peribadi kerana pasukan juga ada misi tersendiri. Kalau ada rezeki, kita akan cuba mendapatkan kemenangan dalam lapan peringkat yang diharungi nanti,” katanya.

Pada edisi lepas, Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff yang mewakili pasukan kebangsaan melakar sejarah tersendiri apabila meraih gelaran Raja Bukit pada 2020 dan 2022.

Sebelum itu Mohammed Adiq Husainie Othman dinobatkan sebagai Pelumba Terbaik Asia pada 2016 dan Anuar Manan meraih gelaran Raja Pecut pada 2010 dalam perlumbaan jelajah berbasikal berprestij berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan